Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli berkata Perdana menteri, Anwar Ibrahim bertanggungjawab atas kegagalan kerajaan meredakan ketegangan kaum dan agama di negara ini.
Menurutnya, ini kerana presiden PKR itu bimbang langkah menangani isu perkauman akan menimbulkan kemarahan Umno.
“Kenapa Datuk Sri Anwar gagal menangani isu itu ialah soal Akmal..
“Kerana dia terlalu berhati-hati, takut-takut Umno marah. Saya ingat soal stokin dulu kan, lambatnya dia untuk jumpa pimpinan Umno, apatah lagi dengan Akmal Saleh,” katanya.
Dia berkata demikian ketika dijemput sebagai tetamu jemputan bersama Nik Nazmi Nik Ahmad dalam episod terbaru podcast KiniTV Explain Sikit yang dihoskan Mastura Malak dan Zikri Kamarulzaman.
Bekas ahli PKR itu mengimbas insiden penemuan beberapa pasang stoking tertera kalimah ‘Allah’ di kedai serbaneka KK Mart yang mencetuskan kontroversi pada 2024.
Akmal antara ahli politik yang lantang membangkitkan isu itu, termasuk menyeru masyarakat Melayu Islam supaya memboikot kedai runcit berkenaan.
Bukan setakat itu, Pemuda Umno juga menggesa ahlinya di seluruh negara membuat laporan polis terhadap KK Mart.

Dalam pada itu, Rafizi berpendapat kerajaan boleh menangani isu perkauman dengan lebih baik jika mempunyai mekanisme berkesan untuk menangkis naratif yang dibawa golongan pelampau.
Dia mencadangkan penubuhan satu platform yang melibatkan pemimpin daripada pelbagai lapisan masyarakat, politik dan agama.
“Apabila kita ada struktur merentas semua pihak seperti itu, akhirnya kita boleh membawa semua pihak kepada titik persamaan.
“Penyataan bersama daripada pemimpin masyarakat, politik dan agama boleh menghalang kumpulan kecil ini daripada mendapat pengaruh - mereka akan kekal di pinggiran,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
Sebagai contoh, Rafizi berkata negara pernah mempunyai mekanisme berkesan seperti Majlis Muhibbah Negara.
Majlis itu ditubuhkan kerajaan pada 1969 selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei dan dipimpin oleh Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman.

Menurut Rafizi, majlis tersebut memainkan perananan penting dalam memulihkan hubungan antara kaum.
Dia berkata ketegangan juga berpunca daripada kegagalan menguasai naratif yang jelas.
Berdasarkan pengalamannya sebagai anggota Kabinet, Rafizi berkata majoriti rakyat Malaysia mengamil sikap sederhana dan lebih tertumpu kepada isu kos sara hidup, ekonomi dan kelangsungan hidup.
Namun, ketiadaan agenda yang benar-benar mampu menarik perhatian rakyat biasa mewujudkan kelompongan yang menyebabkan isu kaum dan agama mengambil alih pentas utama.
“Sebab itu kalau pandangan saya mengenai reformasi dan penambahbaikan ekonomi ni, saya selalu sebut kepada kerajaan ialah kita tak boleh buat business as usual kerana business as usual itu tak ada apa yang menggamit rakyat.
“Jadi bila tak ada apa dia melahirkan vakum dan vakum itulah yang menyebabkan maka timbul isu-isu yang perkauman semua ini dan ia menjadi isu yang take the center stage (menjadi dominan),” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata isu kaum dan agama merupakan antara cabaran di negara ini kerana warisan parti politik berasaskan kaum terus bersaing atas garis perkauman dan agama untuk mendapatkan sokongan.
Walaupun pendekatan itu boleh difahami pada tahap tertentu, dia menegaskan pemimpin kerajaan perlu mengutamakan kepentingan negara dan tidak tunduk kepada tuntutan golongan pelampau.
"Sebab banyak parti-parti kaum ni dia nak berjaya dalam parti dia, dia kena jadi champion. Parti Melayu ke, dalam DAP pun walaupun DAP pelbagai kaum tetapi secara sejarahnya dia menjadi juara untuk masyarakat minoriti.
"Jadi dia kena jadi champion dan while kita faham to a certain extent, tetapi pendekatan itu mungkin tidak menguntungkan negara jadi saya ingat kita kena bincang ni sebagai rakyat Malaysia, tengok betul-betul ni dan kepada pemimpin kena ada sikap kepimpinan dan bukan hanya tunduk kepada orang yang nak membakar di bawah," katanya.





