Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi ke sini bermula esok (8 Jun) hingga 10 Jun depan, atas jemputan kerajaan Jepun, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar.
Beliau akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong dan pegawai kanan kerajaan.
“Perdana Menteri akan diberikan majlis sambutan rasmi, diikuti dengan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi,” menurut kenyataan itu.
Menurut Kementerian Luar, pertemuan tersebut akan memberikan peluang penting bagi kedua-dua pemimpin untuk menyemak kemajuan hubungan dua hala dan merangka hala tuju baharu bagi kerjasama masa depan, susulan peningkatan bersejarah hubungan Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember, 2023.
Bidang perbincangan utama dijangka merangkumi teknologi hijau, daya tahan dan peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serantau serta kerjasama pendidikan tinggi.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, menurut kenyataan itu.
Semasa lawatan itu, Anwar dijadualkan menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo dan ucapan dasar di Forum Nikkei ke-31: Masa Depan Asia, menekankan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dan memupuk dialog dengan Jepun dan rantau yang lebih luas.
Mengiktiraf perananan Jepun sebagai sumber utama pelaburan langsung asing dan rakan ekonomi yang penting, beliau juga akan menyertai sesi meja bulat perniagaan bersama tokoh-tokoh industri Jepun untuk meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi yang baharu di Malaysia.
Jepun terus menjadi salah satu rakan kongsi ekonomi Malaysia paling penting, menduduki tempat sebagai rakan dagang kelima terbesar negara di dunia sejak 2024.
Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala berjumlah RM142.96 bilion (US$33.39 bilion), setakat Disember 2025, sejumlah 2,872 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan jumlah pelaburan mencecah RM107.9 bilion (US$31.0 bilion).
Projek-projek ini telah menawarkan 347,346 peluang pekerjaan, menurut Kementerian Luar.





