PRN JOHOR | Rekod prestasi PH yang berjaya menunaikan semua janji dalam manifesto 100 hari ketika mentadbir Johor selepas PRU ke-14 wajar dijadikan ukuran pengundi dalam membuat pilihan kali ini.
Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata kejayaan itu membuktikan bahawa gabungan berkenaan bukan sekadar menawarkan janjI malah ada rekod melaksanakan komitmen yang dijanjikan kepada rakyat.
Katanya semua 10 inisiatif yang dijanjikan menerusi manifesto 100 hari itu berjaya direalisasikan. Antaranya mengehadkan jawatan menteri besar kepada dua penggal, program Kad Sihat Johor, sistem tender terbuka dan pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu kepada golongan sasar.
“Turut berjaya dilaksanakan ialah skim takaful warga emas, insentif lanjut pelajaran, pengecualian bayaran lesen penjaja, bayaran tertunggak sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan 50 peratus potongan, kuota menegak kerajaan dan insentif perkahwinan untuk orang muda,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Manifesto PH Untuk Semua di Johor Bahru hari ini.
Turut hadir, ahli Majlis Presiden PH Amirudin Shari, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching dan Pengerusi PKR Johor Dr Zaliha Mustafa.
Sehubungan dengan itu, Aminolhuda menyeru seluruh rakyat Johor agar keluar beramai-ramai pada 11 Julai ini sekali gus memberikan kemenangan kepada PH untuk membentuk kerajaan.
Pengerusi Amanah Johor itu turut yakin manifesto yang dibentangkan PH hari ini berupaya dilaksanakan oleh pasukan yang akan mentadbir negeri berkenaan.
“Saya yakin (bakal) kepimpinan yang ada akan mewarisi kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pada peringkat Persekutuan serta dapat melaksanakan perkara yang dijanjikan,” katanya.
Pada PRN kali ini, PH bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, sila layari





