Perwakilan PAS Perlis, Mohd Saifizi Saidon hari ini menyelar kepimpinan parti yang didakwa gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri-negeri yang diterajui oleh part itu.
Katanya, ada negeri yang menteri besar tidak menghadiri mesyuarat badan perhubungan negeri yang sepatutnya menjadi panduan kepada kerajaan.
Malah, kata Mohd Saifizi, akhlak dan asas kepimpinan Islam yang sepatutnya dipegang telah terabai berbanding pada masa lalu apabila PAS begitu ketat mengawal selia kualiti kepimpinannya dengan sangat ketat.
“Dalam sejarah PAS, tokoh seperti MP (Parit Buntar) Hashim Gera digantung keahlian hanya kerana berjoget, menunjuk betapa pentingnya menjaga kualiti pemimpin sebagai syarat kemenangan.
“Namun pada hari ini PAS semakin jauh daripada asas tersebut.
“Terdapat pemimpin yang berkaraoke dipertahankan oleh ulama PAS. Lebih menyedihkan lagi, ada pemimpin yang bersalam dengan wanita tidak dikenakan tindakan, bukan sekali tetapi berkali-kali,” katanya.
Dia berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden parti pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al Makmur, Kerdau, Temerloh, hari ini.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Saifizi dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu karaoke.
[Berita penuh menyusul]





