Festival Rain Rave Water selama tiga hari pada 2026 dianggarkan menarik 180,000 pengunjung dan menjana sehingga RM200 juta hasil keseluruhan pelancongan, menurut sebuah persatuan pelancongan tempatan.
Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (Mita), Mint Leong berkata festival yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei itu turut mencatat 1.4 bilion klik di platform media sosial global.
Ketika dihubungi, Leong berkata angka anggaran oleh persatuannya turut melepasi “garis panduan pihak ketiga” awal untuk pemain industri, yang menyasarkan 80,000 kehadiran dan perbelanjaan di lokasi antara RM55 juta hingga RM70 juta.
“Ada garis panduan, dan apa yang kami keluarkan dalam kenyataan hari ini adalah anggaran kami sendiri,” kata Leong kepada Malaysiakini.

Merujuk capaian media sosial itu, Leong berkata jika “ekonomi berasaskan trafik” diterjemahkan kepada hasil sebenar, Malaysia akan melihat impak terhadap penjenamaan globalnya sebagai destinasi pelancongan melalui penukaran kepada ketibaan pelancong.
“Acara seperti ini menggambarkan Malaysia sebagai negara muda, terbuka dan bertenaga.
“Ia menyasarkan pasaran pelancongan belia global dan mewakili produk pelancongan antarabangsa yang sangat mendapat permintaan,” katanya.
“Ia juga menjadi contoh kerjasama berjaya antara kerajaan dan sektor swasta, dengan sokongan awam yang kukuh,” tambahnya.

Festival Rain Rave Water Music 2026 dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai sebahagian daripada Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia dipromosikan sebagai gabungan unik muzik, air dan elemen hiburan moden.
Hujan dijadikan sebahagian daripada pengalaman festival, bersama persembahan muzik, pencahayaan dan elemen interaktif yang direka untuk mewujudkan suasana menarik kepada pengunjung.
Leong turut memuji Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing sebagai “pemimpin berani” yang mempertahankan inisiatif itu di tengah tekanan dan pandangan bertentangan.

Mengulas lanjut, Leong berkata ahli-ahli Mita melaporkan peningkatan hasil, selain kesan langsung kepada pihak berkepentingan — hotel, restoran dan kedai lain — di Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya.
“Ada pemilik kedai yang berkata sebelum ini dalam satu hari jualan mereka kurang daripada RM1,000, tetapi dalam tiga hari itu mereka mencatat jualan lebih RM4,000,” tambahnya.
Dia juga menolak pandangan pengkritik bahawa ramai warga asing yang dilihat hadir sebenarnya sudah tinggal atau bekerja di kawasan Bukit Bintang.
“Kami melihat peningkatan ketibaan, khususnya dari China,” katanya.
Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong berkata Motac perlu merebut peluang untuk terus membangunkan model “ekonomi konsert” yang mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas hiburan dan pelancongan global.
[Baca berita asal]





