Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Isnin mengalu-alukan bantuan yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk kapal yang terkandas di Selat Hormuz, namun menolak penyertaan Perancis dalam misi itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Kami tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang operasi bersifat ganas, terutamanya kerana kerangka bagi perkara ini tidak kelihatan jelas kepada saya,” kata Macron di Yerevan pada sidang kemuncak Komuniti Politik Eropah (EPC) yang kelapan.
Di bawah pimpinan Perancis dan United Kingdom, satu gabungan antarabangsa telah dibentuk bagi penempatan tentera laut secara berkecuali di selat itu selepas berakhirnya pertempuran.
Pada Ahad, Trump berkata AS akan membantu kapal “yang terperanangkap di Selat Hormuz” untuk keluar dari laluan perairan strategik itu.

Macron memuji langkah itu. “Itulah yang kami tuntut sejak awal,” kata presiden Perancis itu.
“Kami telah membina satu misi ad hoc yang sedang diusahakan. Perancangan ketenteraan dilakukan di London tetapi yang lebih penting, kami mahukan pembukaan semula yang diselaraskan antara Iran dan AS,” tambahnya.
“Itulah satu-satunya penyelesaian yang membolehkan, dalam jangka panjang, pembukaan Selat Hormuz, memastikan kebebasan pelayaran, dan melaksanakannya tanpa sekatan atau bayaran.”





