29.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 21, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Perpecahan pembangkang, RUU penting tumpuan sidang Dewan Rakyat esok

    Shopee Sale

    Dewan Rakyat yang bersidang semula pada Isnin (22 Jun) dijangka berlangsung dalam suasana hangat susulan pelbagai perkembangan politik telah berlaku sejak berakhirnya persidangan lepas.

    Landskap politik negara berubah ketara sejak Parlimen kali terakhir bersidang, dengan pembangkang dilihat mula berpecah, wadah politik baru muncul dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di dua negeri dibubarkan.

    Persidangan Dewan Rakyat sehingga 16 Julai akan berlangsung serentak dengan tempoh kempen PRN Johor dan Negeri Sembilan, yang dijadual masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos.

    Ahli Parlimen yang bertanding atau terlibat dalam jentera PRN dijangka berdepan cabaran untuk mengimbangi tugas di Dewan Rakyat dan kempen di lapangan.

    Persidangan kali ini juga dijangka lebih hangat dengan pertikaman lidah yang lazim berlaku ketika musim pilihan raya.

    Ujian terhadap pembangkang

    Ketegangan dalam parti pembangkang dijangka menjadi tumpuan apabila mereka memasuki persidangan dalam keadaan masih berpecah.

    Sejak persidangan lalu, Perikatan Nasional (PN) berdepan beberapa krisis dalaman, termasuk pengumuman bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, mengenai penubuhan parti politik baru yang secara terbuka mendapat sokongan PAS.

    Hamzah melancarkan gerakan Reset pada 14 Feb lalu, sehari selepas dipecat daripada Bersatu. Pada masa sama, parti itu turut menggantung atau menamatkan keahlian seramai 19 ahli Parlimen yang dipilih atas tiket PN.

    Hubungan antara Bersatu dan PAS juga dilihat semakin renggang sepanjang tahun ini, sehingga membawa kepada keputusan PAS menamatkan kerjasama politik selama enam tahun dengan Bersatu pada awal bulan ini. Perkembangan itu dianggap sebagai keretakan dalaman paling besar dalam PN sejak gabungan tersebut ditubuhkan.

    Kedua-dua parti masih menegaskan mereka masih merupakan sebahagian daripada PN. Dalam masa sama, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, menggugurkan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung PN.

    Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin turut digantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya PN dengan Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor.

    Perseteruan yang semakin ketara antara PAS dan Bersatu dijangka terserlah sepanjang persidangan Dewan Rakyat, walaupun blok pembangkang dijangka cuba menampilkan imej bersatu.

    Tempat duduk jadi perhatian

    Pakatan pembangkang akan diuji seawal hari pertama persidangan, termasuk dalam isu kedudukan tempat duduk ahli Parlimen.

    Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Larut, akan kembali menduduki kerusi tradisi Ketua Pembangkang selepas PAS memutuskan untuk melantiknya semula ke jawatan tersebut.

    Pengumuman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang, sekali gus menamatkan tempoh singkat Samsuri sebagai Ketua Pembangkang, memandangkan dia tidak sempat menyandang jawatan itu ketika Dewan Rakyat sedang bersidang.

    Berdasarkan pelan tempat duduk terkini yang dipaparkan di laman web Parlimen, Hamzah akan duduk bersebelahan Samsuri. Di sebelah kiri Samsuri pula ialah Abdul Hadi, diikuti Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Naib Presiden Bersatu yang digantung, Ronald Kiandee.

    Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada Januari lalu, pula akan ditempatkan lebih jauh di Blok E bersebelahan Ketua Pemuda PAS merangkap Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden. Kedudukan baru itu dipisahkan lapan kerusi daripada tempat asalnya yang sebelum ini bersebelahan Hamzah.

    Berita Harian melaporkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari mengesahkan dia telah menerima makluman mengenai pelantikan semula Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, selain memaklumkan bahawa perubahan tempat duduk Muhyiddin dibuat atas permintaannya sendiri.

    Susunan tempat duduk itu dilihat mencerminkan keseimbangan kuasa dalam gabungan yang secara rasmi masih wujud tetapi semakin jelas berpecah arah.

    PKR hilang dua kerusi

    Di pihak kerajaan, PKR kehilangan dua ahli Parlimen iaitu Rafizi Ramli (Pandan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) selepas kedua-dua bekas menteri itu mengosongkan kerusi mereka bagi menerajui Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang telah dijenamakan semula, dan kini menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya.

    Susulan peletakan jawatan mereka sebagai ahli Parlimen yang mengurangkan kerusi PKR kepada 29 kerusi, Rafizi turut menegaskan bahawa Bersama tidak akan menyertai mana-mana gabungan politik, sebaliknya tampil sebagai kuasa ketiga yang bebas.


    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengesahkan bahawa tiada pilihan raya kecil akan diadakan bagi kedua-dua kerusi Parlimen tersebut, selepas Johari memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan berkenaan.

    MENARIK:  'Tiga ekor orang putih': Hadi pernah ponteng kelas BM? - MP DAP

    Rang Undang-Undang

    Di pihak kerajaan pula, agenda legislatif bagi persidangan kali ini amat padat dengan beberapa rang undang-undang (RUU) penting yang memberi kesan melangkaui Dewan Rakyat.

    Antaranya ialah Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2026, yang merangkumi 11 cadangan pindaan melibatkan 42 fasal. RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Isnin sebelum dibahaskan keesokan harinya.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pada 18 Jun lalu bahawa antara fokus utama pindaan menyeluruh itu ialah memperkukuh tindakan terhadap kegiatan lumba haram, yang masih menjadi ancaman serius kepada keselamatan pengguna jalan raya.

    Persidangan kali ini juga dijangka menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026, yang telah lama dinantikan berikutan peningkatan kes penipuan dalam talian dan jenayah digital sehingga memberi tekanan kepada agensi penguat kuasa untuk menangani kebimbangan orang ramai.

    Dalam aspek keselamatan siber, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata pada Februari lalu bahawa kerajaan sedang menggubal undang-undang baru bagi membendung perjudian dalam talian. Dia ketika itu memaklumkan RUU tersebut dijangka dibentangkan pada persidangan kali ini, bergantung kepada tahap kesiapsiagaannya.

    Menurut Fadillah, kerajaan masih meneliti sama ada undang-undang itu akan diperkenalkan sebagai akta haru atau dimasukkan sebagai pindaan kepada undang-undang sedia ada seperti Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

    Pada 4 Mei pula, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, berkata kerajaan berada di peringkat akhir menyiapkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara, yang dijangka dibentangkan pada Julai.

    RUU Perubahan Iklim Negara bertujuan mewujudkan sistem pemantauan, pelaporan dan pengesahan bagi menyokong mekanisme penetapan harga karbon serta peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon. Ia juga akan membolehkan pelaksanaan harga karbon secara lebih tersusun sebelum pengenalan cukai karbon dan pasaran karbon.

    Had tempoh PM

    Turut kembali dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat ialah dua cadangan pindaan Perlembagaan yang sebelum ini dibentangkan pada mesyuarat pertama penggal ini.

    Antaranya ialah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026, yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun. RUU itu akan dibentangkan semula selepas gagal memperoleh sokongan majoriti dua pertiga ketika pembentangan terdahulu.

    Selain itu, cadangan pindaan Perlembagaan bagi memisahkan secara rasmi perananan Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut kembali dibawa ke Dewan Rakyat selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.

    Dalam aspek kebajikan, pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 juga dijangka dibentangkan.

    Menteri Sumber Manusia R Ramanan berkata pada Mei lalu bahawa pindaan itu bertujuan memperluaskan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.

    Dia turut memaklumkan kira-kira 480,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja, manakala sebanyak 54 kemalangan maut direkodkan tahun lalu, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperluaskan perlindungan tersebut.

    Sementara itu, Rang Undang-Undang Warga Emas juga dijangka menjadi perhatian, namun pembentangannya masih belum dapat dipastikan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri pada Mei lalu berkata kementeriannya memerlukan enam bulan lagi sebelum RUU itu boleh dibentangkan di Parlimen, sekali gus menjadikan penghujung tahun sebagai tempoh yang lebih realistik.

    Nancy mengakui Malaysia amat memerlukan undang-undang tersebut, namun menjelaskan prosesnya tertangguh kerana pelbagai pihak berkepentingan mahu pandangan mereka diambil kira terlebih dahulu.

    Pindaan Sosma

    Antara RUU yang dianggap sensitif dari sudut politik ialah cadangan pindaan kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

    Pada Januari lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata RUU pindaan SOSMA dijangka dibentangkan pada persidangan kali ini selepas melalui peringkat akhir semakan oleh pihak berkaitan.

    Tahun lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi telah mengemukakan lapan cadangan pindaan strategik bagi menambah baik pelaksanaan akta tersebut.

    Sama ada RUU itu akhirnya dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada persidangan kali ini akan menjadi petunjuk penting terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah