Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Dr Joachim Gunsalam menang tanpa bertanding jawatan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi penggal 2026-2029.
Setiausaha Agung PBS Julaita Mojungki berkata Joachim merupakan calon tunggal yang dikemukakan bagi jawatan tertinggi parti itu selepas tempoh pencalonan ditutup pada 31 Julai lepas.
"Mengikut syarat pengundian parti, seseorang calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk layak bertanding," katanya dalam kenyataan.
Julaita berkata jawatan timbalan presiden untuk kuota bumiputera bukan Islam pula dimenangi oleh Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Joniston Bangkuai, manakala jawatan timbalan presiden kuota bumiputera Islam dimenangi Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Ruslan Muharram.
Kedua-dua mereka memenangi jawatan tersebut juga tanpa bertanding.
Menurut Julaita bagi jawatan timbalan presiden kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Lo Su Fui; dan ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang.
Bagi persaingan jawatan naib presiden, Julaita berkata, tiga calon bertanding bagi dua kerusi kuota bumiputera bukan Islam, enam calon bagi dua kerusi kuota bumiputera Islam, manakala lima calon bersaing bagi satu kerusi kuota Cina.
Dia menambah, sebanyak 66 calon akan bertanding merebut 16 kerusi ahli majlis tertinggi membabitkan 28 calon bagi kuota bumiputera bukan Islam, 23 calon bagi kuota bumiputera Islam serta 15 calon bagi kuota Cina.
Julaita berkata parti itu mencatat rekod menerima sebanyak 79 pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dengan lebih separuh daripada calon merupakan muka baru.
Kongres PBS bagi memuktamadkan keputusan pengundian parti berkenaan dijadualkan berlangsung pada Sept ini.





