32.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 13, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Penganalisis saran elaun MP boikot sidang penting dipotong

    Shopee Sale

    Dewan Rakyat disarankan agar lebih tegas terhadap ahli parlimen yang meninggalkan dewan ketika persidangan penting, termasuk dengan tidak membayar elaun atau tuntutan logistik kepada mereka.

    Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata tindakan itu wajar dikenakan kepada semua ahli parlimen yang bertindak sedemikian tanpa mengira sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang.

    Jelasnya, ini bagi memastikan setiap wakil rakyat bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan pengundi.

    Memetik tindakan sekumpulan ahli parlimen pembangkang yang keluar dewan ketika persidangan khas bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) RCI Tabung Haji (TH), Mohd Yusri berkata parlimen wajar untuk membayar apa-apa elaun atau tuntutan logistik kepada ahli parlimen terlibat.

    “Walaupun mereka hadir ke Dewan Rakyat pada awalnya, tetapi kehadiran tersebut tidak memenuhi tujuan persidangan diadakan. Parlimen Malaysia perlu lebih bertegas, kerana setiap sen kemudahan saraan untuk ahli parlimen dibayar dengan wang awam, duit pembayar cukai.

    “Penguasaan sebarang peraturan mesti secara ‘luwes’ (fleksibel), tidak bias dan tidak pilih kasih, terpakai kepada blok kerajaan atau pembangkang,” katanya kepada Malaysiakini.

    Pada 11 Ogos, sekumpulan ahli parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika persidangan khas membahaskan Laporan Tabung Haji (TH).

    Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan pada awalnya tampil membangkitkan Peraturan Mesyuarat agar sidang khas RCI TH ditangguh susulan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dapat menghadiri sesi itu atas faktor kesihatan.

    Sekumpulan wakil rakyat PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) bertindak keluar dewan sebaik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan bangun untuk memulakan sesi penerangan laporan RCI TH.

    Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang juga presiden Wawasan dalam sidang medianya selepas meninggalkan dewan mengkritik sesi itu sebagai diturun taraf (downgrade) menjadi sesi penerangan menteri yang menurutnya tidak ada sebarang keputusan atau pengundian akan dibuat.

    Ketua pembangkang Hamzah Zainudin

    Kepentingan awam

    Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata tindakan kumpulan ahli parlimen itu boleh dilihat sebagai bentuk protes politik sekiranya tidak menjejaskan kepentingan awam atau agenda penting negara.

    Bagaimanapun katanya, parlimen perlu bertindak sekiranya tindakan itu dilakukan secara jelas sehingga merencatkan perjalanan persidangan.

    “Bagi aksi ringan-ringan yang tidak merugikan rakyat, parlimen masih boleh pertimbangkan, tapi kalau terlalu ketara sehingga merencatkan agenda negara yang lebih penting seperti semalam, Parlimen mesti bertindak,” tegasnya.

    Mohd Yusri berkata penguatkuasaan juga wajar dilaksanakan secara berperingkat dengan pemotongan elaun dan tuntutan logistik sebagai langkah awal.

    Katanya, walaupun tindakan itu mungkin tidak memberi kesan kepada ahli parlimen yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh, ia tetap menjadi isyarat bahawa Parlimen serius dalam menjaga kepentingan awam.

    Dia turut menegaskan bahawa Speaker mempunyai bidang kuasa untuk menguruskan perkara berkaitan Dewan Rakyat berdasarkan peraturan sedia ada, namun tekanan masyarakat juga penting bagi mendorong reformasi parlimen.

    “Orang awam perlu menjadi pendesak yang signifikan untuk mendesak reformasi-reformasi parlimen ke arah kebaikan negara,” katanya.

    Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim

    Tindakan keluar Dewan sebagai bentuk protes politik bukan perkara baru dan pernah dilakukan oleh ahli parlimen daripada pelbagai blok politik dalam sesi parlimen sebelum ini.

    Pada Julai 2018, misalnya, ahli parlimen BN dan PAS yang ketika itu menjadi pembangkang melakukan ‘walkout’ sebagai bantahan terhadap pelantikan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Pada Disember tahun sama, ahli parlimen BN sekali lagi meninggalkan dewan sebagai tanda protes berhubung keputusan Speaker menghalang Ahli Parlimen Cameron Highlands ketika itu, C Sivarraajh, daripada menghadiri sidang.

    Pada Disember 2020 pula, pembangkang diketuai PH melakukan protes dan ‘walkout’ ketika undian peruntukan Kementerian Wilayah Persekutuan selepas mempersoalkan kehadiran tiga Ahli Parlimen yang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) untuk mengambil bahagian dalam undian.

    Dedah kehadiran

    Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata tindakan lebih tegas wajar dipertimbangkan terhadap ahli parlimen yang sengaja meninggalkan dewan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengikuti perbahasan dan mewakili kepentingan rakyat.

    Katanya, ahli parlimen dipilih untuk hadir, berbahas, mengemukakan soalan, mencabar hujah kerajaan atau pembangkang serta terlibat dalam proses membuat keputusan.

    Penganalisis politik Dr Mohammad Tawfik Yaakub

    “Jika tindakan keluar dewan dilakukan tanpa alasan yang benar-benar munasabah, situasi berkenaan boleh dilihat sebagai kegagalan melaksanakan amanah tersebut,” katanya.

    Bagaimanapun, Mohammad Tawfik berkata perlu ada perbezaan antara ‘walkout’ sebagai protes politik yang mempunyai justifikasi dengan tindakan meninggalkan sidang bagi mengelakkan perbahasan, pengundian atau tanggungjawab menjelaskan pendirian kepada rakyat.

    “Prinsip ini perlu dikenakan kepada semua ahli parlimen tanpa mengira sama ada mereka daripada kerajaan atau pembangkang. Kita tidak boleh mempunyai satu standard untuk kerajaan dan satu standard untuk pembangkang,” katanya.

    MENARIK:  Segenap lapisan masyarakat akan nikmati hasil ekonomi negara, jamin PM

    Mohammad Tawfik juga turut mencadangkan supaya parlimen merekod dan mendedahkan kehadiran ahli parlimen kepada rakyat, selain memotong elaun persidangan bagi ketidakhadiran tanpa alasan munasabah dan mengenakan penalti kewangan bagi kesalahan berulang.

    Katanya, kes serius juga boleh dirujuk kepada jawatankuasa parlimen yang berkaitan.

    Menurutnya, jika seseorang ahli parlimen menunjukkan corak ketidakhadiran atau meninggalkan sidang secara berulang dan sengaja, tindakan lebih tegas perlu dipertimbangkan terhadap keistimewaan mereka termasuk sistem pencen.

    “Rakyat mempunyai hak untuk bertanya, jika pekerja biasa boleh dikenakan tindakan kerana tidak hadir bekerja tanpa alasan, mengapa wakil rakyat yang menerima gaji, elaun dan pelbagai kemudahan daripada dana awam tidak boleh dikenakan tahap akauntabiliti yang sama?“ soalnya.

    “Bagi saya reformasi parlimen selepas ini bukan sekadar memperkukuh kuasa Dewan, tetapi juga memastikan setiap ahli parlimen benar-benar bertanggungjawab terhadap mandat yang diberikan oleh rakyat.

    “Namun bagi sesetengah pihak melihat keluar Dewan mungkin satu strategi politik tetapi meninggalkan tanggungjawab tidak sepatutnya menjadi satu budaya politik yang diterima,” tegasnya.

    Politik protes dan politik perbahasan

    Dalam pada itu, penganalisis politik Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata tindakan keluar dewan akan terus berulang selagi politik protes lebih diutamakan berbanding politik perbahasan.

    Menurutnya, ‘walkout’ boleh menjadi hak politik pembangkang sebagai tindakan simbolik, namun penggunaan yang terlalu kerap boleh dilihat sebagai tindakan menghukum institusi Parlimen dan mengabaikan mandat pengundi.

    “Selagi politik protes lebih diutamakan daripada politik perbahasan, tindakan keluar Dewan akan terus berulang. Walkout boleh menjadi hak politik pembangkang sebagai tindakan simbolik, tetapi jika terlalu kerap digunakan, ia boleh dilihat sebagai menghukum institusi parlimen dan mengabaikan mandat pengundi.

    “Perbezaan pandangan boleh diterjemahkan melalui hujah dan undian,” katanya.

    Penganalisis politik Sivamurugan Pandian

    Sehubungan itu, Sivamurugan berkata parlimen perlu mempunyai peraturan kehadiran yang lebih tegas, termasuk rekod kehadiran yang telus serta tindakan terhadap ketidakhadiran tanpa alasan munasabah yang dipersetujui secara konsensus.

    “Soal (mansuh) pencen pula boleh dikaji, tetapi saya lebih menyokong elaun atau kemudahan tertentu dikaitkan dengan tahap kehadiran dan penyertaan, bukannya terus menghukum semua ahli parlimen yang tidak hadir,” katanya.

    Kecetekan ilmu

    Sementara itu, felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan yang dihubungi menyifatkan tindakan ahli parlimen PAS dan Wawasan meninggalkan dewan ketika perbahasan RCI TH sebagai sesuatu yang mengecewakan memandangkan isu berkenaan amat penting.

    Katanya, tindakan ahli parlimen daripada PH, BN, GPS dan GRS yang mengambil bahagian dalam perbahasan menunjukkan laporan berkenaan wajar dihadam dan dibahaskan secara serius.

    Azmi berkata ketiadaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat bukan alasan munasabah untuk melakukan protes kerana timbalan perdana menteri serta menteri yang bertanggungjawab terhadap Tabung Haji turut hadir.

    Menurutnya, laporan RCI Tabung Haji merupakan dokumen teknikal dan kompleks yang memerlukan ahli parlimen memahami kandungannya sebelum mengambil bahagian dalam perbahasan.

    “Untuk berbahas itu memerlukan penghadaman terhadap laporan dan pemahaman terhadap laporan.

    “Mungkin untuk mengelakkan bila berbahas itu nampak kecetekan ilmu dan kecetekan pengetahuan terhadap laporan itu, saya rasa mungkin ini membantu ahli parlimen PAS keluar, ahli parlimen daripada Wawasan juga tidak mengambil bahagian.

    “Kerana untuk mengambil bahagian buat hujah, kita kena faham. Bila kita dikatakan berhujah berdasarkan fakta dan laporan tersebut. Jadi amat mengecewakanlah bagi mereka yang tidak berhujah, tidak berdebat dalam hal ini,” katanya.

    Felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan

    Azmi bagaimanapun mempersoalkan keberkesanan mekanisme hukuman terhadap ahli parlimen yang keluar dewan kerana kehadiran secara fizikal semata-mata tidak semestinya menunjukkan mereka benar-benar mengambil bahagian dalam persidangan.

    Katanya, apa yang lebih diperlukan ialah sistem penilaian yang bukan hanya merekod kehadiran fizikal, tetapi turut mengukur penyertaan dan kualiti perbahasan ahli parlimen.

    “Kalau mereka berada dalam dewan pun, kalau tidak mengambil bahagian, sama juga, suatu yang amat menyedihkan. Jadi mekanisme untuk menghukum itu, saya rasa sukar untuk dilaksanakan dalam kes ini.

    “Statistik yang ada, yang selalu dikeluarkan adalah kehadiran secara fizikal. Tetapi mesti ada satu penilaian, pemantauan, adakah mereka ini terlibat sama dalam perbahasan ataupun tidak terlibat langsung,” katanya.

    Azmi berkata penilaian berkenaan penting kerana terdapat ahli parlimen yang aktif berbahas dan menyampuk tetapi kandungan mereka mungkin lebih bersifat retorik dan tidak menyumbang kepada perbahasan isu yang dibincangkan.

    Menurut Azmi, akauntabiliti ahli parlimen akhirnya terletak pada rakyat, namun ketiadaan sistem penilaian prestasi yang mengukur aspek kuantiti dan kualiti menyukarkan rakyat menilai prestasi sebenar wakil mereka.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah