Pelukis Orang Asli, Shaq Koyok mengambil ikhtiar untuk membantu kesusahan masyarakat Temiar Orang Asli di Kampung Kelaik, Gua Musang, Kelantan, yang bimbang mereka sedang terdedah kepada pencemaran akibat aktiviti perlombongan bijih besi di hulu sungai.
Sungai berhampiran Kampung Kelaik berubah menjadi warna merah karat sejak perlombongan bijih besi bermula pada tahun 2009.
Ujian terkini oleh Malaysiakini mendapati paras kromium yang sangat tinggi—logam berat karsinogenik—dalam darah seorang penduduk kampung.
Shaq, yang berasal daripada suku Temuan Orang Asli, bekerjasama dengan pencipta teknologi penapisan air dari Efinity Easy Water Filters untuk mengedarkan 40 unit penapis air kepada penduduk di Kampung Kelaik.

"Penduduk bergantung sepenuhnya kepada air sungai untuk kegunaan harian mereka.
“Dengan adanya penapis air ini, mereka dapat menikmati bekalan air bersih untuk minum dan memasak," katanya selepas menyerahkan penapis tersebut kepada penduduk pada hari Sabtu.
Hilang sumber air bersih
Tanpa bekalan air paip, penduduk kampung kehilangan sumber utama air minum, mandi dan memancing apabila sungai bertukar menjadi merah.

Beberapa NGO tempatan membantu dengan mengambil air dari bukit berdekatan dan menggunakan sistem paip graviti dari sebuah tandak (takungan mini) untuk menyalurkan air ke rumah-rumah penduduk.
Namun, keselamatan air tersebut masih menjadi tanda tanya.
Selepas pendedahan Malaysiakini pada Disember lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil sampel air sungai dari tandak itu dan mendapati ia memenuhi piawaian arsenik, kromium, ferum, dan aluminium.
Bagaimanapun, tandak tersebut bukan terletak di hilir kawasan lombong bijih besi yang dipercayai menyebabkan pencemaran sungai.
Lokasi sampel lain yang dikumpulkan serta hasil ujian penuh tidak didedahkan.
Laporan Malaysiakini sebelum ini mendedahkan paras kromium yang tinggi dalam darah enam penduduk Orang Asli, yang keluarga mereka telah tinggal di hilir kawasan lombong selama beberapa generasi.
Penduduk termuda dalam kumpulan itu, seorang pemuda berusia 19 tahun, didapati mempunyai paras kromium dalam darahnya yang meningkatkan risiko kanser sehingga 64,000 kali lebih tinggi daripada normal.
Pada bulan sama, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar mengarahkan lombong bijih besi di Bukit Tambun dihentikan operasinya kerana disyaki menyebabkan pencemaran logam berat di sungai berhampiran.
Bulan lalu, Kementerian Kesihatan telah mengumpul sampel darah, rambut, dan kuku daripada sekurang-kurangnya 60 daripada 200 penduduk Temiar di Kampung Kelaik, tetapi kanak-kanak dan warga emas tidak termasuk dalam ujian.
Bantu sediakan penapis air
Efinity Easy Water Filters, sebuah perusahaan sosial yang diasaskan oleh pasangan suami isteri Robest Yong dan Teng Yu-Mein, membangunkan sistem penapisan air yang dilengkapi dengan teknologi membran untuk menapis bakteria e.coli.
"Ia sangat mudah dipasang dan dibersihkan," kata Teng sambil menunjukkan cara penggunaannya kepada penduduk kampung.
"Set penapis ini menggunakan bahan yang mudah diganti seperti botol minuman 1.5L dan pam basikal untuk menghasilkan tekanan bagi menolak air melalui membran penapis," jelasnya.
Dia turut menunjukkan penduduk Temiar itu bagaimana membersihkan membran penapis hanya dengan bilasan air bersih tanpa menggunakan sabun atau berus.
Menurut Teng, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan permohonan pensijilan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) bagi memastikan teknologi ini boleh digunakan secara meluas.





