Pihak pendakwaan memohon untuk meminda pertuduhan pertama yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkaitan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa pindaan itu melibatkan pengguguran perkataan “menerima” dalam pertuduhan pertama.
"Undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak ada menyatakan sama ada menerima atau meminta sesuatu suapan tetapi adalah bertujuan untuk suatu suapan. Jumlah RM3.3 juta tetap ada dalam pertuduhan," katanya.
Peguam Ramkarpal Singh mewakili Lim membantah permohonan itu dan menegaskan bahawa elemen penerimaan adalah penting.
“Sekiranya perkataan itu dikeluarkan tanpa sebarang penjelasan, tambahan pula ia dibuat pada peringkat yang begitu lewat iaitu enam tahun kemudian, ia akan memprejudiskan pihak pembelaan. Sebab itu kami memerlukan masa untuk menyediakan hujahan,” katanya.
Azura menetapkan esok untuk mendengar kedua-dua pihak berhujah.
Prosiding perbicaraan diteruskan dengan sesi soal balas pihak pembelaan terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri G Gnanaraja, 44, yang juga saksi pendakwaan ke-37.
Mengikut pertuduhan pertama, Lim, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.





