Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan semua prosiding tatatertib terhadap mahasiswa universiti awam berkaitan kebebasan bersuara dan perhimpunan awam dihentikan serta-merta.
Menyahut gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mahasiswa diberikan lebih kebebasan sementara menunggu pemansuhan rasmi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku), kementerian berkata beberapa peruntukan dalam undang-undang itu dikenal pasti "untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah pelaksanaan segera."
KPT secara khusus menyenaraikan beberapa peruntukan dalam Auku serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang dianggap mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan.
Peruntukan itu membabitkan kebebasan menguruskan persatuan, kelab dan aktiviti pelajar, selain kebebasan bersuara, berhimpun, menggunakan platform komunikasi serta mengedar dan menerbitkan dokumen.

“Selaras dengan langkah tersebut, KPT ingin mengumumkan bahawa semua prosiding tatatertib berkaitan dengan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam hendaklah dihentikan berkuat kuasa serta-merta.
"Pada masa yang sama, kebebasan tersebut perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab dan keluhuran undang -undang.
“Perbuatan yang melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah tetap tertakluk kepada undang -undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kementerian itu pada kenyataan hari ini.
KPT berkata Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak tertakluk kepada Auku.
Oleh itu, penelitian sama akan dilakukan terhadap peruntukan berkaitan mahasiswa di kedua-dua universiti berkenaan bagi memastikan ia selaras dengan langkah pembaharuan yang dilaksanakan di bawah Auku.
Kebebasan mahasiswa
Pada 26 Ogos, Anwar dilaporkan mengarahkan universiti awam melonggarkan peraturan yang tidak perlu dan menyekat kebebasan mahasiswa bersuara, termasuk menggugurkan serta-merta semua tindakan tatatertib bukan jenayah terhadap mereka.
"Kalau ada mahasiswa yang diberikan tindakan disiplin semata-mata kerana suara mereka, kritikan mereka, termasuk kritikan kepada Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka hendaklah dilepaskan sepenuhnya.
"Kalau kes polis, ya... itu isu lain,",” katanya seperti dilapor media tempatan ketika berucap pada sebuah forum di Universiti Malaya.

Dia bagaimanapun mengingatkan kebebasan bersuara mempunyai batasnya dan menegaskan mekanisme sewajarnya masih diperlukan bagi melindungi universiti serta pegawainya.
Sebelum ini, Anwar berjanji sebarang undang-undang yang menggantikan Auku tidak akan menyekat kebebasan mahasiswa.
Rang undang-undang bagi memansuhkan akta berkenaan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir turut berkata susulan pemansuhan Auku, kerajaan akan menggubal kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh seperti digariskan dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.





