Gabungan kumpulan alam sekitar hari ini menggesa kerajaan Perak melindungi bukit batu kapur Gunung Kanthan daripada aktiviti kuari yang menurut mereka mengancam biodiversiti unik di kawasan berkenaan.
Kumpulan yang diketuai Sahabat Alam Malaysia (SAM) itu berkata bukit batu kapur berkenaan merupakan sebahagian daripada Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, dengan spesies flora dan fauna endemik di situ berdepan risiko kepupusan susulan kegiatan sebuah syarikat pengeluar simen mengekstrak bahan mentah di kawasan tersebut.
“Kebimbangan terbesar kami adalah apabila pengusaha mengekstrak batu kapur dan menghilangkan bukit itu, status geopark berkenaan mungkin ditarik balik.
“Sekiranya perkara itu berlaku, biodiversiti yang terdapat di situ, sama ada flora atau fauna, secara automatik akan terancam dan akhirnya pupus,” kata Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, pada sidang media di Ipoh hari ini.

Anggota lain dalam gabungan itu termasuk Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Perak, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Greenpeace Malaysia. Pakar alam sekitar Maketab Mohamed bertindak sebagai penasihat kempen Selamatkan Gunung Kanthan.
Sementara itu, Meor berkata penyelidikan menemukan 11 spesies flora dan fauna endemik di bukit batu kapur berkenaan, termasuk enam yang diklasifikasikan sebagai terancam kritikal.
Spesies endemik ialah tumbuhan atau haiwan yang secara semula jadi hanya ditemukan di satu kawasan geografi tertentu dan tidak terdapat di tempat lain di dunia.
Antaranya ialah spesies labah-labah prasejarah Liphistius kanthanensis dan spesies cicak Cyrtodactylus guakanthanensis. Spesies tumbuhan endemik pula termasuk Meiogye kanthanensis, Gymnostachyum kanthanensis dan Vatica kanthanensis.

“Kewujudan spesies endemik ini, khususnya yang mempunyai nilai pemuliharaan kritikal, merupakan satu lagi sebab pihak berkuasa negeri perlu memberikan komitmen tegas untuk memelihara dan mengekalkan Gunung Kanthan,” tambahnya.
‘Pelihara warisan Gunung Kanthan’
Gesaan supaya Gunung Kanthan dipelihara dibuat beberapa hari selepas sekumpulan sami Buddha dari Biara Gua Sakyamuni menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim membantu menyelamatkan rumah ibadat mereka daripada dirobohkan.
Biara berusia seabad itu dibina di dalam gua batu kapur Gunung Kanthan, yang terletak dalam kawasan Parlimen Tambun diwakili Anwar.

Sejak bertahun-tahun lalu, biara berkenaan menjadi tumpuan pertikaian berhubung aktiviti pengkuarian di kawasan tersebut.
Pada September 2023, syarikat pengeluar simen Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd dilaporkan memenangi rayuan di mahkamah untuk mengusir pihak biara dari tanah berkenaan.
Kumpulan warisan dan pemuliharaan membantah pengosongan biara itu dengan merujuk kepada kepentingan budayanya serta ekosistem unik Gunung Kanthan.
[Baca berita asal]





