32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 15, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Lesen judi: Keputusan dimohon Kedah boleh beri kesan ke Kelantan

    Shopee Sale

    Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung usaha kerajaan Kedah menghentikan operasi premis judi berlesen di negeri itu boleh memberi kesan meluas sehingga ke Kelantan, kata seorang pakar undang-undang.

    Menurut Zulqarnain Lukman, keputusan mahkamah yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu menetapkan bahawa kawal selia aktiviti perjudian tertakluk kepada Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 yang merupakan undang-undang Persekutuan.

    Dalam satu hantaran di media sosial, Zulqarnain berkata, hak negeri mengeluarkan lesen premis judi merupakan kuasa yang bersifat derivatif daripada kuasa Persekutuan.

    “Yang ralatnya, atas tindakan Sanusi itu, kes berkenaan dibawa ke mahkamah dan ruling mahkamah itu akan terpakai di negeri Kelantan.

    “Sekarang ini jika ada mana-mana orang bukan Islam ingin membuka kedai judi di Kelantan maka PBT (pihak berkuasa tempatan) Kelantan mahu tidak mahu mesti membenarkan premis judi dibuka di Kelantan,” katanya.

    Zulqarnain merujuk kepada tindakan kerajaan Kedah dan menteri besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor, menghentikan pengeluaran lesen premis judi di negeri tersebut mulai 1 Jan 2023.

    Bagaimanapun untuk rekod, kuasa mengeluarkan lesen perniagaan syarikat judi – atau dikenali juga sebagai agensi nombor ramalan – berada pada Kementerian Kewangan di Putrajaya.

    Keputusan Kedah itu membawa kepada situasi rumit apabila syarikat yang menjalankan aktiviti judi itu mendapat lesen untuk beroperasi, tetapi mereka terkekang oleh keperluan lesen premis yang dikeluarkan oleh PBT.

    Islam tetap tak izinkan judi

    Sebagai respon, syarikat pengendali nombor ramalan membawa isu keabsahan perintah kerajaan Kedah ke Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk mendapatkan kebenaran mencabar.

    Pada Jun 2024 mahkamah memihak kepada syarikat terbabit – antara lain kerana berpendapat ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, selain berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

    Kerajaan Kedah kemudian membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan dan sekali lagi gagal. Antara hujah hakim ialah, kerajaan negeri tidak mengenakan perintah itu semata-mata kerana tidak bersetuju dengan kegiatan judi.

    Kerajaan negeri kemudian melanjutkan usaha mereka ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapat kebenaran merayu ketetapan mahkamah tinggi. Bagaimanapun sekali lagi Kedah gagal.

    MENARIK:  Pemuda PAS Perlis kesal Bersatu terus nafi peranan jatuhkan MB

    Untuk rekod keputusan tersebut bukanlah bermaksud mahkamah mewajibkan kegiatan judi berjalan di Kedah sebaliknya hakim membuat ketetapan mengenai pembahagian kuasa di antara kerajaan negeri dan pusat.

    Zulqarnain Lukman

    Menurut Zulqarnain, pendekatan diambil Sanusi berbeza dengan apa yang pernah dilakukan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa menjadi Menteri Besar Kelantan.

    Katanya Nik Abdul Aziz keputusan dibuat kerajaan Kelantan – yang mengharamkan premis judi di negeri itu – tidak pernah dicabar di mahkamah oleh masyarakat bukan Islam.

    Menurutnya, tindakan Nik Aziz adalah ijtihad ketika menjadi menteri besar dan tidak pernah melalui proses pengujian di mahkamah seperti kes di Kedah.

    Suka atau tidak, katanya, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa aspek kawal selia judi tertakluk kepada Akta Rumah Judi Terbuka dan Akta Pertaruhan.

    Dalam pada itu, Zulqarnain menolak hujah bahawa semua agama mengharamkan perjudian dengan alasan istilah seperti haram, halal, harus, sunat dan makruh merupakan konsep khusus dalam syariat Islam.

    Katanya, agama lain mungkin tidak menggalakkan perjudian tetapi tidak semestinya menetapkannya sebagai kesalahan agama dengan bentuk larangan yang sama seperti Islam.

    Dia juga menegaskan pendirian itu bukan bermaksud menyokong perjudian, sebaliknya isu yang dipertikaikan ialah kuasa kerajaan negeri untuk mengharamkan perjudian kepada orang bukan Islam.

    "Janganlah pula putar kata kita ini projudi. Kita ini memang antijudi tetapi yang jadi isu sekarang ini kerajaan Kedah hendak haramkan judi kepada bukan Islam sebab syariat Islam haramkan judi.

    "Ini sebabnya orang bukan Islam cabar Sanusi di mahkamah," katanya.

    Dia turut menegaskan bahawa isu dasar yang dibangkitkan ialah kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan menjadi rujukan tunggal bagi kaedah pentadbiran untuk semua.

    "Sekiranya kerajaan Kedah – atas pilihan mereka sendiri - untuk (bawa kes) ke mahkamah, maka ikutlah keputusan mahkamah walaupun keputusan itu tidak berpihak kepada kerajaan Kedah," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah