Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyindir “kebetulan” begitu banyak program kerajaan Madani di Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Dalam satu hantaran ringkas di Facebook, Idris berkata kerancakan menteri dan agensi kerajaan menjalankan program.

“Hari ini saya di dalam DUN Sg Bakap, kawasan PRK (pilihan raya kecil) yang akan berlangsung pada Sabtu, 6 Julai ini.
“Banyak program kerajaan Madani buat di kawasan PRK. Kebetulan saja, bukan kerana PRK pun.
“Menteri dan agensi kerajaan rancak menjalankan program,” katanya.
Idris secara sinis berkata sebagai mana yang rakyat maklum kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan mengulangi cara politik kuno seperti zaman BN dan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Bagan Serai itu dalam nada yang sama berkata, peruntukan RM290,000 untuk surau dan masjid di Sungai Bakap seperti yang diumumkan oleh perdana menteri bukan rasuah pilihan raya.
“Kerajaan Madani akan membawa cara politik madani dan reformasi dan islah negara untuk memacu negera yang lebih terbilang.

“Peruntukan untuk surau dan masjid dalam DUN Sungai Bakap sebanyak RM290,000 oleh Anwar bukan rasuah pilihan raya.
“Mungkin infaq dan sedekah kot,” katanya sambil menyertakan beberapa emoji senyuman.
Minggu lalu, Presiden Gerakan Dominic Lau, iaitu sekutu PN turut membidas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang mengumumkan dana RM18 juta untuk pelbagai projek di Seberang Perai Selatan bawah program Sentuhan Kasih, menjelang PRK Sungai Bakap.

Nga dipetik sebagai berkata dana berkenaan akan digunakan untuk pembinaan balai bomba Permatang Tinggi (RM13.7 juta), naik taraf pasar Bukit Panchor (RM1 juta) dan pembiayaan enam rumah ibadat bukan Islam (RM1. 02 juta).
Dana itu juga akan meliputi pembaikan di pasar Tasek Mutiara dan rumah pangsa kos rendah Taman Bukit Panchor, landskap di Bukit Panchor, dan kerja-kerja menaik taraf gelanggang bola keranjang Kampung Sungai Udang.
Sungai Bakap menyaksikan pilihan raya kecil susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada PAS pada 24 Mei lalu akibat radang perut.
Pada pilihan raya negeri (PRN) 2023 lalu Nor Zamri menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Kali ini gabungan Pakatan Harapan-BN meletakkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan utara, Joohari Ariffin, 60, dari PKR, sebagai calonnya.
PN pula mempertaruhkan Naib Ketua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56 untuk mempertahankan kerusinya itu.
Kerusi Sungai Bakap, yang mempunyai 39,279 pengundi terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis dilihat sebagai medan pertempuran penting bagi kedua-dua, PKR dan PAS.
Tarikh penamaan calon ditetapkan pada Sabtu, 22 Jun ini.





