30.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Parti Hamzah kini komponen PN, Bersatu kekal dalam gabungan

    Shopee Sale

    Ketika debaran mengenai nasib Bersatu dalam PN semakin memuncak malam tadi, mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu berakhir dengan kedudukan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu tidak dibincangkan.

    Puluhan wartawan yang menunggu menyaksikan bekas perdana menteri dan bekas Pengerusi PN itu hadir di Ibu Pejabat PAS – yang kini kekal bersikeras dengan Bersatu – bersama beberapa pemimpin kanannya.

    Sebaliknya Bersatu kekal di dalam PN yang kini dikuasai PAS.

    Pada masa sama, salah satu punca kemarahan PAS kepada Bersatu dapat dirungkai dalam mesyuarat berkenaan. Dua parti baru diterima menjadi komponen BN, termasuk yang diambil alih oleh satu lagi seteru Bersatu – kumpulan Hamzah Zainudin.

    Ditemui media selepas mesyuarat berakhir di tengah Kuala Lumpur tengah malam tadi, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kedudukan Bersatu dalam gabungan tersebut tidak dibincangkan.

    Sebaliknya, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS itu memberitahu dua parti diterima masuk oleh PN iaitu Parti Cinta Malaysia dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    “Mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti untuk menjadi parti anggota PN yang baru,” katanya.

    Parti Cinta Malaysia merupakan nama asal pertubuhan yang diasaskan oleh beberapa pemimpin Gerakan yang tidak berpuas hati dengan pemimpin atasan mereka selepas PRU 2008.

    PRU ke-12 itu menyaksikan Gerakan dikalahkan di Pulau Pinang yang menjadi kubu kuat mereka sejak 1969.

    Wawasan, Pejuang tak terlibat

    Terkini Parti Cinta Malaysia diambil alih oleh kumpulan ahli politik yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin dan menjenamakannya semula sebagai Parti Wawasan Negara.

    Menurut Hamzah, nama parti itu diilhamkan sendiri oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

    Pejuang pula ditubuhkan oleh bekas pengasas bersama Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, selepas disingkirkan oleh parti tersebut. Bagaimanapun Pejuang kini tidak lagi dipimpin oleh Mahathir, sebaliknya anak bekas perdana menteri dua kali itu, Mukhriz.

    MENARIK:  Wartawan Malaysiakini mengaku tak bersalah tuduhan rasuah

    Sebelum ini isu kemasukan parti baru ke dalam PN merupakan antara sebab hubungan PAS dan Bersatu bermasalah. Bersatu bertegas mahu PN menjalin kerjasama pilihan raya dulu dengan parti tersebut dan bukannya menjadi komponen mereka.

    PAS pula benar-benar mahukan agar parti terbabit diterima menjadi sebahagian daripada PN.

    Untuk rekod mengikut Perlembagaan PN, penyertaan atau penyingkiran sesebuah parti perlukan konsensus semua.

    Penyertaan kedua-dua parti itu menjadikan PN kini dianggotai enam komponen. Selain PAS dan Bersatu, anggota sedia ada PN ialah Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

    Muhyiddin pula ketika temui media sebaik keluar dari mesyuarat tersebut turut memaklumkan kedudukan Bersatu tetap seperti sedia ada.

    Malah dia mengulangi penegasan bahawa Bersatu akan tetap bertahan di sebalik tekanan yang dikenakan ke atas mereka.

    “Bersatu akan kekal dan abadi sampai bila-bila,” katanya ringkas.

    Dia juga mengesahkan kedudukan Bersatu dalam PN tidak dibincangkan.

    Sementara itu pada sidang media sama, Ahmad Samsuri berkata, PN akan membincangkan pengagihan kerusi untuk PRN Johor hari ini melalui jawatankuasa rundingan diketuai ketua pengarah pilihan raya mereka, Muhammad Sanusi Md Nor.


    Baca PN lucutkan jawatan Radzi, Azmin


    Untuk rekod Sanusi baru saja dilantik menduduki jawatan berkenaan selepas penyandangnya, Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, digugurkan pada 17 Jun lalu.

    Menurut Ahmad Samsuri, sebuah jawatankuasa diwakili dua pemimpin dari setiap parti komponen akan membincangkan isu pengagihan kerusi.

    “PN bersetuju memuktamadkan (agihan) melalui jawatankuasa rundingan kerusi dalam kadar segera.

    “Insya-Allah mesyuarat esok akan selesaikan segera,” katanya.

    Bagaimanapun Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman menambah, perbincangan itu tidak disertai wakil Pejuang dan Wawasan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah