Bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab Thailand, Kanchanaburi Power FC.
Malangnya, dia yang pernah dispekulasikan dengan pelbagai negara, termasuk Malaysia, menyertai Kanchanaburi Power yang baru sahaja tersingkir ke liga divisyen 2 Thailand.
Pelantikan jurulatih asal Korea Selatan itu diumumkan menerusi kenyataan rasmi kelab berkenaan di semua platform media sosial mereka semalam.
Kanchanaburi menjelaskan pelantikan tersebut bukan sekadar usaha membawa pasukan itu kembali ke saingan Thai League 1 musim 2027/28, malah menjadi sebahagian daripada projek pembangunan kelab untuk jangka masa panjang.
“Kanchanaburi Power FC mengumumkan pelantikan Park Hang-seo, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam dan Korea Selatan, sebagai ketua jurulatih baharu pasukan The Iron Horse bersama beberapa staf rasmi,” menurut kenyataan kelab itu.
Pelantikan berusia 68 tahun itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai destinasi baharu dirinya selepas meninggalkan skuad kebangsaan Vietnam pada 2023.
Sebelum ini, Hang-seo pernah dikaitkan dengan beberapa pasukan dan negara termasuk India, Thailand, Kemboja, Ulsan HD serta Korea Selatan.
Dalam kenyataannya kepada media Vietnam, Hang-seo berkata dia memilih Thailand kerana melihat cabaran itu sebagai sesuatu yang belum pernah benar-benar berjaya dicapai oleh mana-mana pihak sebelum ini.
Hang-seo juga memasang sasaran tinggi dan yakin akan membawa kelab itu kembali ke Liga 1 Thailand.
“Meskipun saya menerima tawaran daripada beberapa negara termasuk Vietnam, saya memilih Thailand kerana ia merupakan cabaran baharu yang belum pernah saya cuba sebelum ini
“Visi jangka panjang dan kesungguhan Kanchanaburi terhadap bola sepak menarik saya kembali ke dunia kejurulatihan. Saya mahu membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk impian dan cabaran baharu,” katanya.
Sebelum ini, Kanchanaburi menamatkan musim lalu di tangga tercorot Liga 1 Thailand dengan 23 mata sekali gus tersingkir ke Liga 2 Thailand musim depan.
Menurut laporan media Thailand pada Isnin, Hang-seo menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Kanchanaburi dengan sasaran membawa kelab itu kembali beraksi di liga utama Thailand.
Hang-seo dijangka dibantu dua staf kejurulatihan dari Korea Selatan iaitu Lee Jung-soo dan Roh Yeong-su. Jung-soo akan bertindak sebagai penolong jurulatih manakala Yeong-su memikul perananan jurulatih kecergasan.
Jung-soo sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu kepada rakan senegaranya, Kim Sang-sik dalam barisan kejurulatihan Vietnam dari 2025 hingga 2026 sebelum mengambil alih tugas jurulatih interim Kanchanaburi bagi baki tiga perlawanan musim ini.
Turut menyertai barisan kejurulatihan ialah Phanupong Wongsa sebagai penolong jurulatih, Phannarai Phansiri sebagai penganalisis video dan Naratip Phanprom sebagai jurulatih penjaga gol.
Bagaimanapun, Hang-seo dilaporkan tidak akan bersama pasukan sepenuhnya dalam masa terdekat kerana masih mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan Korea Selatan menjelang Piala Dunia FIFA 2026 di Mexico. Oleh itu, untuk sementara waktu, tugas mengendalikan pasukan akan dibantu oleh Lee Jung-soo.
Antara pemain ternama yang pernah beraksi bersama pasukan itu musim ini termasuk bekas bintang Tottenham Hotspur, Andros Townsend, selain Alain Oyarzun, Aboubakar Kamara dan pemain naturalisasi Harimau Malaya, Sergio Aguero.





