Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa, hari ini menyarankan agar kontroversi melibatkan Nik Muhammad Zawawi Salleh dibincangkan "secara dalaman" melibatkan badan ulama parti itu.
Dalam kenyataan ringkasnya di media sosial petang ini Annuar berkata, dia yakin Ahli Parlimen Pasir Puteh itu tidak berniat mahu menghina para sahabat Rasulullah SAW itu.
Pada masa sama dia mengakui naratif yang disampaikan Nik Zawawi menimbulkan banyak keraguan dari segi sumber, ketepatan serta cara penyampaiannya.
“Oleh kerana hal ini penting di jelaskan secara tertib, wajarlah secara dalaman YB Ustaz Nik Zawawi di bawa ke Dewan Ulama (PAS) untuk perbincangan mendalam dan tertib berdasarkan ilmu dan hukum syarak.
"Sekiranya ada kesamaran, perlu di perjelaskan. Sekiranya ada kekhilafan, perlu di betulkan," katanya.
Setakat berita ini ditulis Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno dan BN merupakan pemimpin paling senior memberikan reaksi kepada kenyataan Nik Zawawi.
Terdahulu tular petikan ucapan bekas ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib sebelum mereka memeluk Islam.
Abu Bakar digambarkan Nik Zawawi sebagai "bapa ceti" kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar didakwanya sebagai berperanangai ganas dan suka berzina.
Nik Zawawi ketika ini merupakan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.
Sementara itu Dewan Ulama PAS Pahang pula mengingatkan seseorang perlu cermat serta membuat kajian yang betul apabila memperkatakan sesuatu tentang Rasulullah, isteri baginda atau para sahabat.
Ketuanya Zuridan Mohd Daud berkata memperkatakan sosok tersebut melibatkan manusia yang sangat mulia serta sudah dijanjikan dengan syurga.
"Keterlanjuran bicara mesti segera disusuli dengan istighfar dan permohonan maaf. Semoga Allah Taala ampunkan dosa-dosa kita," katanya.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata, menghina sahabat nabi merupakan perbuatan yang haram serta berdosa besar.
"Mereka generasi terbaik, dipuji Allah. Mencaci mereka bererti menghina insan yang tegakkan Islam bersama nabi," katanya.





