Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengakui terdapat beberapa kesilapan fakta dalam ceramah kontroversi Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyentuh latar kehidupan para sahabat Nabi sebelum Islam.
Ketua Penerangan DUPP Mohd Nor Hamzah berkata susulan kontroversi itu, teguran dan peringatan secara dalaman telah diberikan kepada Nik Zawawi agar lebih berhati-hati ketika menyampaikan fakta sejarah Islam.
"Setelah meneliti sedutan rakaman ceramah tersebut serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para sahabat Rasulullah SAW khususnya Sayidina Abu Bakar RA, Sayidina Umar RA dan Sayidina Uthman RA sebelum Islam.
"DUPP menegaskan bahawa para sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka. Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman jahiliah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.

"DUPP juga telah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada YB Datuk Ustaz Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para sahabat Rasulullah SAW," katanya pada satu kenyataan.
Kontroversi itu tercetus selepas Nik Zawawi ketika berceramah di Kuala Terengganu menggambarkan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai “bapa ceti” manakala Umar al-Khattab pula disebut berperanangai ganas dan suka berzina sebelum kedatangan Islam.
Terbaru, Nik Zawawi yang juga setiausaha Majlis Syura Ulama PAS mempertahankan kenyataannya dan menegaskan dia tidak menghina para sahabat Nabi.
Menurutnya, kenyataan tersebut dibuat dalam konteks menerangkan realiti masyarakat Arab pada zaman jahiliah serta perbezaannya dengan era hidayah Islam.

"Sahabat-sahabat semua berlaku adillah dalam perkara ini, saya nak sebut bahawa bila kita tengok sesuatu kita tengok dengan positif.
"Ini jadi menghentam itu tak baik dan saya memaafkan apa yang disebut oleh sahabat (yang menghentam).
"Kita boleh rujuk dalam kitab pelbagai bagaimana suasana zaman jahiliah yang tidak ada seorang ulama mengecualikan orang sekian-sekian Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar ke, selamat daripada sistem jahiliah," katanya dalam satu hantaran video bagi menjelaskan kontroversi itu.
Sementara itu, DUPP berkata pihaknya menghargai teguran yang dibuat pemimpin PAS dan ilmuwan agama berhubung isu tersebut, selagi ia disampaikan secara beradab dan bersandarkan fakta sahih.
"Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.
"DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam," katanya lagi.





