27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Pak turut DAP, kaki kabaret’ – Syahir balas sindiran Amanah

    Shopee Sale

    Seorang pemimpin PAS tampil membalas kritikan seteru mereka yang menyifatkan parti itu seperti ‘Akademi Fantasia’ dalam pengundian calon pengerusi Perikatan Nasional (PN).

    Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman bagaimanapun menegaskan tiada salahnya program seperti ‘Akademi Fantasia’, sebuah rancangan realiti untuk mencungkil bakat baru, ada guru yang melatih, ada juri yang menilai, dan ada penyokong yang mengundi.

    “Demokrasi? Ya. Bezanya PAS, ada syura dan musyawarah. (Pemilihan) calon perdana menteri, pengerusi PN, PAS akan bincang, PAS akan pertimbang, dan PAS akan rundingkan. Ada tertibnya, ada kaedahnya.

    “Bezanya PAS, tiada siapa boleh tentukan pendirian kami. Kami putuskan sendiri, dengan siapa hendak berkawan, dengan siapa hendak berlawan; berprinsip, ada maruah, ada harga diri.

    “Tidak seperti Amanah, semua keputusan ditentukan DAP, hanya ikut cakap DAP. Sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada DAP, tidak lebih seperti ‘kaki kabaret’ - hilang prinsip, tergadai maruah, tiada harga diri,” katanya dalam kenyataan media.

    Faiz Fadzil

    Syahir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil yang mengkritik polemik dalam PN dilihat semakin meruncing apabila PAS masih belum menamakan calon bagi jawatan pengerusi gabungan itu.

    MENARIK:  PAC saran Mara Inc tambah baik SOP penyewaan hartanah

    Anak bekas presiden PAS itu turut menyindir sikap PAS yang menurutnya berterusan berteka-teki mengenai kepimpinan PN, dengan menyamakan situasi tersebut seperti program realiti televisyen Akademi Fantasia.

    Sementara itu, Syahir menegaskan betapa kaedah syura dan musyawarah ini bukanlah dimulakan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang, tetapi dimulakan oleh pimpinan PAS terdahulu, termasuk ayah Faiz sendiri iaitu Allahyarham Fadzil Noor.

    Jelasnya, terpulang kepada Faiz jika enggan meneruskan legasi itu sebaliknya PAS tetap akan teruskan tradisi yang dimulakan oleh pimpinan terdahulu.

    Berbalik kepada calon perdana menteri dan pengerusi PN katanya, PAS telah buat pertimbangan baru - dengan pelbagai ‘qaul’ dan pandangan diambil kira, dan ‘ditarjihkan’.

    “Insya-Allah PAS akan rundingkan, akan dimuktamadkan, dan akan diumumkan; mengikut tertib dan kaedahnya.

    “Tidak perlu menyuluh siapa orangnya, dan kami tidak perlukan ‘endorsement’ DAP dan Amanah. Kini, rakyat sedang melihat kewibawaan PAS, dan sedang menilai kelayakan PAS untuk menjadi perdana menteri.

    “Akhir kata, kami diajar untuk bersabar, tidak gopoh, apatah lagi gelojoh. Kami yakin, masa depan PAS, dan masa depan Islam semakin cerah. Masa depan Amanah? Sila tanya DAP,” sindirnya lagi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah