Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan semua pengendali stesen rel untuk meningkatkan dan menaik taraf aspek keselamatan mereka, terutamanya dalam menyediakan kemudahan kepada komuniti orang kurang upaya (OKU).
"Tragedi di Stesen Titiwangsa pagi ini, yang meragut nyawa seorang penumpang, amat menyedihkan.
"Bagi pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mereka yang terkesan oleh kejadian ini.
"Kementerian Pengangkutan kini bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan, terutamanya Prasarana, untuk menjalankan siasatan terperinci," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menteri mengeluarkan arahan ini susulan kejadian seorang lelaki buta yang ditemui mati di landasan Rapid Rail Sdn Bhd di Kuala Lumpur pagi ini.
"Prasarana akan mengambil beberapa langkah penting bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada berulang.
"Smart CCTV yang berupaya mengesan kelakuan berisiko akan dipasang di stesen.
"Bagi jangka masa panjang pula, Prasarana dalam peranancangan untuk memasang Platform Screen Doors (PSD) di kesemua laluan LRT sebagai usaha memperkukuh keselamatan penumpang," katanya lagi.
Terdahulu, Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPM), bersama dengan polis daerah Sentul, telah mengenal pasti mayat yang ditemui di lokasi kejadian sebagai seorang lelaki buta berbangsa Cina.
Menurut Komander Operasi JBPM KL, Fadil Hesam Mohd, pasukan dari Balai Bomba Sentul dan Titiwangsa telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan menerusi sistem MERS-999 pada jam 8.38 pagi.
"Mangsa dipercayai merupakan OKU buta dan siasatan awal dipercayai mangsa terjatuh di kawasan rel sebelum dilanggar oleh sebuah tren yang melintasi kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, Loke menggesa semua penumpang tren yang memerlukan bantuan tambahan, terutamanya daripada golongan OKU, supaya mendapatkan bantuan daripada kakitangan Prasarana atau anggota polis bantuan.
“Keselamatan dan kebajikan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami.
“Kerajaan komited untuk memastikan sistem pengangkutan awam yang lebih selamat, inklusif, dan mesra pengguna, demi kebaikan semua rakyat Malaysia,” tegasnya.





