“Oh ya ke?” Itu reaksi ringkas veteran politik Rais Yatim berkaitan penarikan balik dua darjah kebesaran Negeri Sembilan terhadapnya hari ini.
“Tak perasan pula.
“Bintang itu dianugerahkan oleh Yamtuan ke-10 Tuanku Jaafar 1982 di hujung Khidmat saya sebagai menteri besar Negeri Sembilan,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.
Terdahulu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan dan Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan kepada Rais Yatim berkuat kuasa serta-merta.
Pendaftar Darjah Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata Tuanku Muhriz menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran terhadap bekas menteri besar Negeri Sembilan itu yang dikurniakan pada 2001 dan 1979.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan–tanpa menghuraikan lanjut.
Laporan itu tidak menyebut sebab tindakan itu dibuat secara khusus.
Bagaimanapun dalam kemelut kedudukan diraja Negeri Sembilan, Rais memihak kepada barisan undang yang ‘memecat’ Tuanku Muhriz serta mendukung Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baru.
Rais, bekas pemimpin Umno yang kini menjadi pengerusi Parti Wawasan Negara, pernah berkhidmat sebagai menteri besar negeri itu selama lima tahun dari 1978 hingga 1982.





