Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menggesa SPRM untuk menyiasat kegiatan individu yang didakwa menjadi ejen pekerja asing, bukannya wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar.
Gesaan itu susulan laporan polis yang dibuat oleh Nantha pada Sabtu lalu, yang antara lain mendakwa ejen warga Pakistan itu telah cuba menyogoknya.
“NUJM berharap polis akan menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus terhadap perkara ini serta memastikan pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan.
“Pada masa sama, NUJM menggesa SPRM untuk menyiasat secara terperinci kegiatan serta rekod lampau ejen tersebut berdasarkan laporan polis yang dibuat Nantha, dan bukannya menyasarkan seorang wartawan yang hanya menjalankan tugas sebagai wartawan penyiasatan demi kepentingan awam,” kata Setiausaha Agung NUJM Teh Athira Mohd Yusof dalam enyataan hari ini.
NUJM turut menggesa SPRM agar tidak mengganggu atau menakut-nakutkan wartawan.
Baca: Dakwaan rasuah: Ini penjelasan saya
SPRM menahan Nantha di sebuah hotel di Shah Alam pada 28 Februari lalu, atas dakwaan dia menerima RM20,000 daripada ejen tersebut sebagai balasan untuk tidak menerbitkan dua artikel yang akan membongkar kegiatan kartel.
Nantha dibebaskan pada Selasa lalu.
Nantha - yang berkhidmat dengan Malaysiakini sejak 2018 - telah menulis secara meluas baru-baru ini mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.
Dalam laporan polis yang dibuat selepas dibebaskan daripada tahanan SPRM, Nantha menafikan dia meminta atau menerima sebarang rasuah daripada ejen tersebut, yang dirujuknya sebagai Zahid.
Sebaliknya, Nantha berkata dia mengambil sampul yang diberikan Zahid untuk dijadikan bukti berkenaan sindiket pemerdagangan pekerja asing, di mana Zahid didakwa terlibat.
Bagaimanapun, dia berkata SPRM terus menahannya sebaik sahaja menerima sampul tersebut, sebelum dia sempat melaporkan insiden itu kepada Jabatan Imigresen.
Nantha juga menggesa polis untuk menyiasat latar belakang Zahid, yang dikatakan memegang visa profesional walaupun sebelum ini mengakui pernah dipenjarakan di Malaysia atas kesalahan pemerdagangan manusia.





