28.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 13, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ambil Tindakan Undang-Undang, Mekdinda Tuntut RM37,500 Selepas 10,000 Produk Didakwa Tak Diterima

    Shopee Sale

    Pempengaruh Mekdinda atau nama sebenarnya, Nur Syahidatul Najwa Shukor mengambil langkah undang-undang terhadap sebuah syarikat pengeluar produk kosmetik atau OEM selepas mendakwa tempahan 10,000 unit produknya masih belum diterima meskipun deposit sebanyak RM37,500 telah dibayar sejak Mac lalu.

    Mekdinda yang merupakan pengasas Mekdinda Cosmetics mendakwa kelewatan tersebut bukan sahaja menyebabkan wang depositnya masih belum dikembalikan, malah turut menjejaskan perancangan perniagaan dan mengakibatkan kehilangan potensi jualan yang dianggarkan sebanyak RM111,000.

    ARTIKEL BERKAITAN: Pihak Pasar Raya Sudah Mohon Maaf, Suami Wanita Hamil Dituduh Mencuri Tetap Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang

    ARTIKEL BERKAITAN: Raf Yaakob Tuntut Hutang, Beri Tempoh Hingga Hujung Bulan – ‘Kalau Tak Bayar, Saya Tunjuk LOD Dekat Sini’

    Mekdinda Dakwa Produk Gagal Dibekalkan

    Menurut kenyataan firma guaman Tetuan Aimee & Zaim Arif yang mewakilinya, Mekdinda Cosmetics telah membuat tempahan sebanyak 10,000 unit cleanser makeup remover berkapasiti 100ml daripada syarikat OEM tersebut berdasarkan invois bertarikh 7 Mac 2026.

    Nilai keseluruhan tempahan itu adalah RM75,000 dengan bayaran deposit sebanyak RM37,500 atau 50 peratus daripada jumlah keseluruhan dibuat pada hari sama.

    Bagaimanapun, pihak Mekdinda mendakwa produk tersebut masih gagal dibekalkan selepas tempoh yang dijanjikan walaupun beberapa kali susulan dibuat bagi mendapatkan perkembangan mengenai proses pengeluaran dan penghantaran.

    Antara penjelasan yang didakwa diterima adalah berkaitan masalah penghantaran bahan mentah dari China.

    Mekdinda berkata keputusannya memilih pengeluar tempatan dibuat atas dasar mahu menyokong perkembangan industri kosmetik dalam negara.

    Katanya, dia percaya kerjasama antara jenama dan pengeluar tempatan sepatutnya membuka lebih banyak ruang untuk kedua-dua pihak berkembang bersama.

    “Saya memang memilih untuk bekerjasama dengan kilang tempatan kerana mahu memberikan sokongan kepada industri kita sendiri. Apabila jenama tempatan menyokong pengeluar tempatan, sudah tentu kita mengharapkan komitmen dan tanggungjawab yang sama daripada kedua-dua pihak.

    “Saya percaya ramai anak muda di Malaysia mempunyai kreativiti dan keberanian untuk membina jenama sendiri. Sebab itu penting untuk semua pihak dalam industri saling menyokong dan memainkan peranan masing-masing.

    “Namun, sukar untuk industri kosmetik tempatan berkembang jika tanggungjawab yang sudah dipersetujui dalam urusan perniagaan tidak dilaksanakan.”

    Mekdinda turut menegaskan keputusan untuk bekerjasama dengan syarikat terbabit bukan dibuat secara terburu-buru kerana wujud keyakinan berdasarkan representasi, jaminan dan komitmen yang diberikan sebelum pembayaran dilakukan.

    Menurutnya, deposit RM37,500 merupakan satu komitmen besar dalam perniagaan dan bayaran tersebut dibuat atas dasar kepercayaan.

    View this post on Instagram

    A post shared by 𝓜𝑒𝓴 𝓓𝓲𝓷𝓭𝓪💋 (@mekdindaa)

    Katanya, pihaknya juga sudah memberikan ruang dan tempoh yang mencukupi kepada pengeluar berkenaan untuk menyelesaikan tempahan sebelum tindakan lanjut diambil.

    “Sepanjang tempoh itu, kami cuba mendapatkan penyelesaian secara baik dan beberapa kali membuat susulan.

    “Namun selepas menunggu agak lama, produk masih belum diterima dan deposit juga belum dikembalikan. Keadaan itu memberi kesan bukan sahaja kepada kewangan, tetapi juga kepada perancangan perniagaan yang sudah disusun.”

    Susulan perkara berkenaan, satu laporan polis dibuat pada 21 Julai lalu sebelum Surat Tuntutan atau Letter of Demand dikeluarkan kepada pihak syarikat pada 27 Julai.

    MENARIK:  Penundaan Penampilan UNGU di Kuantan Bersama Artis Tanah Air, Pertemuan dengan Peminat Dijadualkan pada 4 Mei!

    Ambil Tindakan Undang-Undang Selepas Mekdina Beri Peluang

    Peguam yang mewakili Mekdinda Cosmetics, Nursiti Sabrina Mohd berkata tindakan tersebut diambil selepas pihak anak guamnya memberikan peluang kepada pengeluar terbabit untuk memenuhi tempahan yang telah dipersetujui.

    “Anak guam kami sudah memberikan masa dan peluang untuk pihak berkenaan melaksanakan tanggungjawab mengikut perjanjian.

    “Namun selepas tempoh yang diberikan berakhir dan produk masih tidak diserahkan, kami mengambil langkah seterusnya melalui Surat Tuntutan untuk mendapatkan semula hak anak guam kami.”

    Menurut Sabrina, perkara itu juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana kepercayaan antara usahawan dan penyedia perkhidmatan merupakan antara elemen penting dalam membangunkan ekosistem perniagaan tempatan.

    View this post on Instagram

    A post shared by 𝓜𝑒𝓴 𝓓𝓲𝓷𝓭𝓪💋 (@mekdindaa)

    Katanya, industri kosmetik tempatan mempunyai potensi besar dengan semakin ramai usahawan muda berani menghasilkan produk dan membangunkan jenama sendiri.

    “Ekosistem perniagaan yang sihat memerlukan setiap pihak menjalankan tanggungjawab dan menghormati persetujuan yang telah dibuat.

    “Kita mempunyai ramai anak muda yang kreatif, rajin serta berani mencuba untuk membina jenama sendiri. Jadi, kepercayaan dan integriti sangat penting supaya industri tempatan dapat terus berkembang.

    “Pada masa sama, undang-undang turut menyediakan saluran kepada mana-mana pihak yang terkesan sekiranya berlaku kemungkiran kontrak.”

    Berdasarkan tuntutan yang dikemukakan, Mekdinda Cosmetics menuntut pemulangan penuh deposit sebanyak RM37,500 selain ganti rugi khas berjumlah RM111,000 atas kehilangan potensi jualan yang didakwa berpunca daripada kegagalan penghantaran produk.

    Turut dituntut adalah ganti rugi am yang akan ditaksirkan serta kos guaman dan kos berkaitan.

    Seorang lagi peguam yang mewakili pihak berkenaan, Afiq Asyraf berkata tindakan lanjut termasuk saman boleh diambil sekiranya tiada penyelesaian dicapai.

    “Kami tidak menuntut sesuatu di luar daripada apa yang sepatutnya diterima oleh anak guam berdasarkan perjanjian yang telah dibuat.

    “Sekiranya perkara ini masih gagal diselesaikan, langkah undang-undang yang bersesuaian akan diambil bagi melindungi kepentingan anak guam kami.”

    Mekdinda dalam pada itu berkata pengalaman tersebut tidak mengubah pendiriannya untuk terus menyokong perniagaan dan pengeluar tempatan.

    Namun, katanya, setiap kerjasama perniagaan perlu berlandaskan kejujuran, amanah serta tanggungjawab selain disokong dengan dokumentasi dan rekod urus niaga yang lengkap.

    Setakat kenyataan berhubung perkara itu dikeluarkan, syarikat OEM dilaporkan belum memberikan sebarang respons awam terhadap dakwaan berkenaan.

    The post Ambil Tindakan Undang-Undang, Mekdinda Tuntut RM37,500 Selepas 10,000 Produk Didakwa Tak Diterima first appeared on OHBULAN!.



    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah