32.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 13, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Ketidakcekapan atau penipu, PAS wajib jelaskan skandal Tabung Haji’

    Shopee Sale

    Anggota Parlimen Kampar Chong Zhemin mendesak PAS tampil memberikan penjelasan berhubung kegagalan parti itu mengesan krisis kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2016 serta tindakan keluar daripada sidang khas Dewan Rakyat, Selasa lalu berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baru-baru ini.

    Pemimpin DAP itu berkata, PAS perlu menjelaskan sama ada tindakan parti itu berpunca daripada ketidakcekapan memahami akaun kewangan atau ketidakjujuran politik untuk memberitahu kebenaran kepada orang ramai.

    “Kemungkinan pertama, PAS tidak memahami maklumat kewangan asas yang dibentangkan di hadapannya.

    “Jika PAS tidak dapat membezakan antara keuntungan sebenar dengan pengagihan yang melebihi keupayaan kewangan sebenar, maka kepimpinannya buta kewangan dan tidak kompeten.

    “Sebuah parti yang tidak dapat memahami bahawa liabiliti yang melebihi aset ialah satu amaran serius tidak layak menguruskan kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Lebih parah

    Chong, turut membekalkan kronologi isu itu dengan merujuk kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang pada 28 Januari 2016 menyatakan keyakinan terhadap sistem tadbir urus TH dan berpuas hati dengan prestasi kewangan lembaga itu.

    Ini selepas pemimpin PAS bertemu dengan menteri bertanggungjawab, Jamil Khir Baharom, serta pengurusan tertinggi TH.

    Jamil Khir Baharom,

    Walau bagaimanapun, laporan RCI menunjukkan kedudukan kewangan TH merosot pada tempoh berkenaan. Pada 2015, TH mempunyai aset RM60.196 bilion dan liabiliti RM60.062 bilion dengan lebihan sebelum hibah hanya RM134 juta, tetapi mengagihkan hibah RM3.220 bilion sehingga menyebabkan defisit RM3.086 bilion.

    Kedudukan kewangan TH dilaporkan menjadi lebih parah pada 2016 apabila aset RM64.321 bilion tidak dapat menampung liabiliti RM65.581 bilion, sehingga mewujudkan defisit awal RM1.260 bilion sebelum pembayaran hibah RM2.871 bilion yang meningkatkan defisit keseluruhan menjadi RM4.131 bilion.

    Chong juga menegaskan bahawa pengagihan hibah tersebut melanggar Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 yang menetapkan hibah hanya boleh diagihkan jika aset tidak kurang daripada liabiliti.

    Mana satu pilihan PAS

    MENARIK:  Malaysia, Brunei perkukuh kerjasama bidang strategik

    Laporan RCI turut mendapati kaedah pengagihan hibah dari 2014 hingga 2017 tidak mematuhi kawalan statutori, manakala pengurusan menggunakan perakaunan kreatif dan menangguhkan pengiktirafan kerugian pelaburan.

    Mengulas lanjut, Chong berkata, kemungkinan kedua yang lebih serius adalah PAS memahami bahaya kewangan tersebut tetapi tetap memilih untuk meyakinkan pendeposit bahawa TH kukuh dari segi kewangan.

    “Jika itu berlaku, PAS tidak jujur dengan rakyat dan membantu mengekalkan naratif awam yang menyesatkan.

    “Sama ada PAS tidak memahami akaun berkenaan, atau dia faham tetapi gagal menyatakan kebenaran.

    “Satu mencerminkan ketidakcekapan. Satu lagi mencerminkan ketidakjujuran. PAS mesti menjelaskan yang mana satu pilihan mereka,” katanya.

    Empat soalan untuk PAS

    Chong turut mengecam tindakan PAS yang memilih keluar Dewan Rakyat semasa perbahasan laporan RCI Selasa lalu atas alasan ketidakhadiran perdana menteri, sedangkan menteri kewangan II, menteri urusan agama, dan ahli Jemaah Menteri lain hadir menjawab soalan bersama 39 anggota parlimen yang kekal membahaskan laporan itu sehingga jam 9 malam.

    Sehubungan itu, dia mengemukakan empat soalan kepada PAS,.

    Pertama, sama ada parti itu menarik balik kenyataan 2016, meminta maaf kepada pendeposit TH, menyatakan dokumen kewangan yang diperiksa sebelum ini.

    “Kedua, adakah Takiyuddin akan meminta maaf kepada pendeposit TH kerana memberikan jaminan yang bercanggah dengan kedudukan kewangan sebenar institusi itu?

    “Ketiga, apakah dokumen kewangan yang diperiksa oleh PAS sebelum mengisytiharkan ia berpuas hati, dan adakah PAS bertanya sama ada aset TH melebihi liabilitinya sebelum hibah dibayar?

    “Keempat, mengapa PAS bertindak keluar Dewan dan bukannya menggunakan Parlimen untuk menuntut jawapan mengenai kerugian dan kemungkinan salah guna kuasa?” soalnya.

    Chong menegaskan bahawa retorik agama tidak boleh menggantikan kecekapan kewangan serta akuntabiliti, dan rekod PAS dalam isu ini menunjukkan kelemahan pentadbiran yang serius atau ketidakjujuran politik yang tidak boleh diterima daripada sebuah parti yang berhasrat memimpin kerajaan persekutuan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah