Presiden Majlis Peguam Mohamad Ezri Abdul Wahab menyifatkan kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung kes mahkamah seorang warga Israel yang didakwa memiliki senjata api dan peluru sebagai sub judice (tidak boleh diperkatakan kerana dalam proses mahkamah).
Dia berkata kenyataan itu, yang dibuat Rafizi ketika kempen PRK Sungai Bakap, membangkitkan persoalan tentang sama ada individu itu bersalah atau tidak sebelum mahkamah membuat keputusannya.
"Apabila orang awam atau media mengulas kemungkinan keputusan kes yang sedang didengar hakim, ia boleh dianggap melanggar undang-undang sub judice.
"Walaupun Majlis Peguam penyokong kuat hak kebebasan bersuara, hak tersebut tidak seharusnya hingga menjejaskan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.
"Dengan mengulas berkenaan peguam dan anak guamnya, Rafizi secara pramatang mempersoalkan anak guam itu bersalah atau tidak sebelum kes selesai di mahkamah," katanya.
Peguam hanya jalankan tugas
Dalam kenyataannya, Rafizi menyasarkan peguam Naran Singh Asa Singh yang mewakili warga Israel, Avitan Shalom yang berdepan dua pertuduhan memiliki enam senjata api dan 200 butir peluru.
"Peguam kepada orang Israel yang datang Malaysia nak buat kacau dengan pistol ini bukannya orang PKR, bukan orang Umno, bukan orang DAP, (tetapi) orang PN," katanya.

Dia berkata demikian di tengah kritikan terhadap keputusan kerajaan menjual pegangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat berkaitan Blackrock.
Ezri berkata kenyataan Rafizi tersebut menyumbang kepada stigma yang dikaitkan dengan kerjaya perundangan.
Kenyataan itu juga berkaitan proses perundangan yang sepatutnya serta keseimbangan antara hak kebebasan bersuara dan hak mendapatkan perbicaraan yang adil, katanya lagi.
"Tertuduh adalah seorang warga asing dan tidak sepatutnya dinafikan hak perwakilan perundangan.

"Peguam yang disebut Rafizi hanya menjalankan tugas dengan memberikan suara kepada anak guamnya di mahkamah Malaysia.
"Prinsip kedaulatan undang-undang, yang ada dalam Rukun Negara kita, memerlukan sistem keadilan jenayah Malaysia menjalankan prosesnya, tanpa mengira tempat asal tertuduh. Untuk berbuat sebaliknya bermakna memutuskan tertuduh sudah bersalah sebelum kesnya didengar," katanya lagi.
Menghina mahkamah
Ezri turut menggesa semua pihak tidak lagi menggelarkan peguam sebagai tidak beretika hanya kerana menjalankan tugas.
"Peguam patut dapat menyediakan khidmat mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan bebas daripada prejudis tak berasas," katanya lagi.
Terdahulu, Malaysia Now melaporkan Rafizi kini boleh didakwa atas kesalahan menghina mahkamah.
Naran, yang merupakan anggota Gerakan dan bertanding di bawah tiket PN dalam PRN 2022, berkata Rafizi menggunakan kejahilannya berhubung tugas perundangan dan hak tertuduh untuk kepentingan politik.





