Langkah kerajaan mewajibkan pengesahan identiti serta mengehadkan akses kepada pengguna berusia di bawah 16 tahun adalah wajar dalam usaha mengurangkan risiko seperti penipuan dalam talian, gangguan siber dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dalam konteks semasa yang menyaksikan kes jenayah siber dan manipulasi digital semakin meningkat, langkah yang diambil kerajaan itu dilihat sebagai usaha yang lebih tersusun bagi mengimbangi antara akses teknologi dan perlindungan pengguna, khususnya golongan muda.
“PPIM menyambut baik pelaksanaan syarat pengesahan umur bagi pembukaan akaun media sosial yang mula berkuat kuasa semalam sebagai satu langkah kehadapan dalam memperkukuh keselamatan pengguna di ruang digital,” menurut kenyataan itu.

Bermula semalam, Malaysia menguatkuasakan syarat pengesahan umur untuk pendaftaran dan pembukaan akaun media sosial bagi memastikan individu berusia di bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial.
Menerusi peraturan baharu itu, pengguna yang ingin mendaftar akaun media sosial diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur dan ia terpakai kepada platform termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
PPIM turut menyifatkan penguatkuasaan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial menerusi pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) sebagai perkembangan positif ke arah meningkatkan kebertanggungjawaban penyedia platform digital, termasuk dari aspek kawalan kandungan dan keselamatan sistem.
Persatuan itu turut menggesa semua penyedia platform media sosial agar mengambil tindakan proaktif memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan di bawah CPC dan RMC, termasuk mempercepat pelaksanaan sistem pengesahan umur serta memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna.
“PPIM turut menekankan kepentingan keterjaminan dan keselamatan data peribadi dalam pelaksanaan ini, dan berharap ia dilaksanakan dengan standard perlindungan yang tinggi. PPIM akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa demi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara,”maklum kenyataan itu.
Menurut PPIM, perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk pendidikan, pemantauan berterusan dan kerjasama semua pihak.
PPIM berharap pelaksanaan dasar ini dapat dilaksanakan secara telus, praktikal serta benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.





