Perselisihan faham sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada sifat manusia, tetapi hubungan suami isteri yang sentiasa ‘dingin’ tanpa alasan yang kukuh kadang kala menimbulkan tanda tanya.
Artikel Berkaitan: ‘Diceraikan Kerana Sikap Baran, Saya Sedar Bila Semuanya Dah Terlambat’
Jin dasim

Tidak mustahil situasi ini terjadi kerana terdapat gangguan daripada makhluk halus iaitu jin yang turut menghasut kebahagiaan rumah tangga yang dibina.
Dasim ialah iblis yang menyemai benih kemarahan, emosi tidak stabil serta sifat kebencian dalam hati pasangan suami isteri.
Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, bahwa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian mengutus bala tenteranya. Maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah satu dari bala tenteranya dan berkata. “Aku telah melakukan begini dan begitu”. Iblis bekata, “Engkau sama sekali tidak melakukan apa-apa”.
“Kemudian datang yang lain dan berkata; “Aku tidak meninggalkannya hingga aku berhasil memisahkan dia dan isterinya.” Maka iblis mendekati dan berkata; “Sunggah hebat (syaitan) seperti engkau.” – [HR Muslim].
Misi utama Jin Dasim adalah untuk melihat runtuhnya ikatan perkahwinan. Makhluk ini sentiasa menyemarakkan lagi api kemarahan antara suami dan isteri. Akibat hasutan halus ini, pasangan akan mula merasakan tiada lagi keserasian dan persefahaman di antara mereka walaupun tanpa adanya sebarang punca atau masalah yang nyata.
Dalam masa yang sama, golongan wanita yang sedang melalui fasa perubahan hormon seperti ketika haid, berpantang selepas melahirkan anak atau sewaktu hamil sering menjadi sasaran Jin Dasim. Makhluk ini mengambil kesempatan di atas ketidakstabilan emosi dan kerapuhan jiwa yang dialami wanita pada waktu-waktu kritikal tersebut.
Jenis-jenis jin

Selain Jin Dasim, terdapat beberapa lagi makhluk jin lain yang dikatakan sering mengganggu kehidupan seseorang Muslim.
- Jin Khanzab mengganggu manusia ketika sedang mendirikan solat. Tugas utamanya adalah merosakkan rasa khusyuk dengan cara membisikkan pelbagai ingatan tentang dunia, urusan yang kita terlupa atau fikiran yang melayang. Matlamat Khanzab adalah untuk membuatkan seseorang itu hilang fokus, berasa was-was terhadap jumlah rakaat atau berasa malas dan tergesa-gesa untuk menyelesaikan ibadatnya.
- Jin Tibbir adalah sejenis jin yang menghasut emosi manusia menjadi tidak stabil, sensitif dan mudah melenting. Apabila seseorang itu dikuasai oleh hasutan Tibbir, mereka akan cepat marah walaupun berhadapan dengan perkara-perkara kecil yang remeh.
- Jin Awar menghasut manusia ke arah perbuatan zina dan maksiat. Jin ini menghiasi pandangan mata lelaki dan wanita agar melihat perkara yang haram itu sebagai sesuatu yang sangat indah, selain menggoda dan memikat. Jin Awar juga akan meniupkan rasa syahwat yang meluap-luap, terutamanya apabila seseorang itu sedang berdua-duaan bersama yang bukan mahram, dengan matlamat akhir runtuhnya benteng iman dan maruah diri manusia melalui perangkap maksiat.
- Jin Ummu Sibyan sering mencari mangsa utamanya iaitu bayi yang baru lahir dan kanak-kanak kecil serta wanita yang sedang mengandung. Kanak-kanak yang diganggu biasanya akan menangis, memandang tepat ke arah satu sudut seolah-olah melihat sesuatu yang menakutkan. Ummu Sibyan sangat aktif pada waktu senja dan sebab itulah wujudnya pesanan orang-orang tua dahulu yang melarang kanak-kanak bermain di luar rumah dan meminta agar semua pintu serta tingkap ditutup apabila masuk waktu Maghrib.
Justeru itu, langkah terbaik untuk menghadapi gangguan makhluk-makhluk ini adalah dengan bertenang, mengawal emosi dan sentiasa membenteng diri serta keluarga dengan amalan berpandukan syariat Islam seperti membaca Al-Quran, solat dan berzikir.
Sumber: FB Ustaz Yaakub Yusra, Orami
The post Dari Sayang Jadi Benci, Suami Isteri Kuat Melenting? Awas Gangguan Jin Dasim first appeared on OHBULAN!.





