Majlis Peguam telah memanggil satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan kekosongan dalam badan kehakiman, ketika ketegangan memuncak susulan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, berakhir tanpa sebarang pengganti dinamakan setakat ini.
Menurut satu pekeliling bertarikh 1 Julai yang dilihat oleh Malaysiakini, EGM itu dijadual berlangsung pada 26 Julai di Menara Matrade, Kuala Lumpur, bermula jam 10 pagi.
Antara agenda mesyuarat ialah “membincangkan hal-hal berkaitan dan, jika difikirkan sesuai, meluluskan satu atau lebih resolusi berkenaan kekosongan jawatan dalam badan kehakiman, kedudukan pemegang jawatan, proses pelantikan, kesinambungan kepimpinan badan kehakiman, serta kebebasan badan kehakiman secara umum.”
Hari ini merupakan hari terakhir Tengku Maimun, 66, berkhidmat dan dia dijadual akan bersara esok kecuali tempoh perkhidmatannya disambung selama enam bulan lagi seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan disokong oleh pelbagai pihak.
Selain Tengku Maimun, Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, juga akan menamatkan perkhidmatan esok. Abang Iskandar akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 pada Khamis.
Ketua Hakim Malaya Hasnah Hashim, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, serta Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Zabariah Yusof dan Hanipah Farikullah dijadual akan turut bersara beberapa bulan selepas itu.
Rahman, Zabariah dan Hanipah sebelum ini telah diberi lanjutan tempoh perkhidmatan selama enam bulan.
Semalam, Majlis Peguam Malaysia mengecam sikap berdiam diri dan ketidakpastian berkenaan lanjutan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun.
Presidennya, Ezri Abdul Wahab, memberi amaran bahawa tindakan membiarkan jawatan Ketua Hakim Negara dalam keadaan tidak menentu begitu hampir dengan tarikh persaraan Tengku Maimun mencerminkan kegagalan tanggungjawab institusi.
Dia turut menambah kelemahan dalam tadbir urus ini boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.
Ahli Parlimen DAP merangkap bekas timbalan menteri undang-undang, Ramkarpal Singh, turut berkongsi pandangan sama pada Ahad lalu, dengan menyatakan bahawa adalah penting untuk memastikan kesinambungan pentadbiran kehakiman yang sedia ada demi memastikan peralihan yang lancar apabila hakim-hakim baru Mahkamah Persekutuan mengambil alih.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengecam pihak tertentu yang didakwanya cuba melobi kerajaan untuk menyambung tempoh perkhidmatan Tengku Maimun.
Perdana Menteri menyifatkan langkah itu sebagai satu percubaan mempolitikkan badan kehakiman dan menegaskan perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku terhadap institusi yang bebas.





