Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal dalam usaha terakhir untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali hari ini sebulat suara menolak permohonan pasangan itu bagi mendapatkan kebenaran semakan terhadap keputusan terdahulu.
Hakim Che Mohd Ruzima yang bersidang bersama Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata Bung Moktar dan Zizie Izette gagal membuktikan terdapat keadaan luar biasa atau ketidakadilan yang jelas, yang boleh membenarkan semakan terhadap keputusan terdahulu.
Pada 18 Nov 2024, panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette, serta mengarahkan kedua-duanya untuk membela diri.
Pasangan itu memfailkan permohonan pada Mac lepas di bawah Peraturan 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, atas alasan bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pendakwaan dan memohon panel semakan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi.





