25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Mahkamah putuskan ahli perniagaan bukan Paiman Shakimon

    Shopee Sale

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan seorang lelaki yang didakwa sebagai Datuk Paiman Shakimon dan dihukum penjara 13 tahun kerana menipu dan memalsukan dokumen adalah bukan ahli perniagaan terbabit, sebaliknya seorang warga Indonesia.

    Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata pihak pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan keraguan munasabah bahawa ahli perniagaan, Aldrin Pratama Widjaja, 65, selaku responden adalah Paiman.

    Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya semasa prosiding inkuiri bagi mengenal pasti identiti Paiman berkata, berdasarkan ketulenan pasport, Kedutaan Besar Republik Indonesia mengesahkan lelaki itu adalah Aldrin Pratama.

    “Dokumen peribadi seperti kad pengenalan Republik Indonesia, lesen memandu dan kad kebenaran pemegang senjata api adalah atas nama Aldrin Pratama,” kata hakim itu.

    Dia berkata spesimen cap ibu jari yang dibekalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan ia hampir sepadan atas nama Paiman bin Shakimon.

    “Pada pandangan saya, hasil proses carian sepatutnya dinyatakan sepadan atau tidak sepadan. Hampir sepadan menunjukkan hasil proses carian itu tidak konklusif, yang terdapat keraguan cap ibu jari itu milik Paiman bin Shakimon,” katanya.

    Selain itu, Muhammad Jamil berkata laporan semakan daripada JPN terhadap nombor kad pengenalan mendapati terdapat percanggahan mengenai butiran iaitu tarikh lahir.

    Pada kad pengenalan Aldrin Pratama, katanya, tertera tarikh lahir 1 Jun 1960, manakala Paiman 23 Mac 1959.

    “Mengapa pihak pendakwaan tidak pernah menjelaskan tentang percanggahan tersebut?

    Jika pendakwaan menyatakan Aldrin Pratama dan Paiman merujuk kepada orang yang sama iaitu Paiman, mengapa dia mempunyai tarikh lahir berbeza?” katanya.

    Prosiding inkuiri berlangsung selama enam hari bermula 18 Sept tahun lepas, dengan pihak pendakwaan memanggil 13 saksi.

    MENARIK:  Kes jenayah seksual di Perlis meningkat 31 peratus

    Kes dikendalikan Mohd Ashrof Adrin Kamarul selaku timbalan pendakwa raya manakala peguam Mohamad Hanafiah Zakaria dan Hisyam Teh Poh Teik mewakili Aldrin Pratama.

    Pada 2 Dis 2021, mahkamah tinggi memerintahkan Paiman menjalani hukuman penjara 13 tahun kerana kesalahan menipu dan memalsukan dokumen. Ketetapan itu dibuat dengan hakim mengekalkan keputusan mahkamah sesyen.

    Paiman sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh terhadapnya pada 2011. Dia sebelum itu didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu serta memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

    Bagaimanapun ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di mahkamah tinggi, dia menghilangkan diri. Pada 20 Julai 2012 mahkamah mengeluarkan waran tangkap manakala waran pemenjaraan terhadapnya dikeluarkan pada 11 Okt tahun sama, selepas gagal hadir semasa prosiding rayuan.

    Pada 2021, Paiman diberkas oleh polis selepas didapati masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia menggunakan nama Aldrin Pratama Widjaja.

    Hasil semakan menggunakan sistem biometrik cap jarinya di JPN menunjukkan dia adalah Paiman Shakimon.

    Bagaimanapun, Aldrin Pratama sehingga kini menafikan dia adalah Paiman.

    Pada 2023, di Mahkamah Rayuan lelaki itu memfailkan rayuan terhadap waran tangkap serta waran pemenjaraan yang dikeluarkan terhadapnya.

    Mahkamah Rayuan kemudian memerintahkan mahkamah tinggi menjalankan inkuiri bagi mengenal pasti identiti lelaki terbabit.

    Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 April 2011.

    Bagaimanapun, dia hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas hakim Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah