Seorang penyokong PAS mempersoalkan bagaimana Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan kementeriannya memilih tiga syarikat yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan.
Nurul Islam Mohammed Yusoff berkata walaupun dia menyokong langkah kerajaan untuk memecahkan monopoli Puspakom terhadap pemeriksaan kenderaan, dia mempersoalkan latar belakang syarikat yang dilantik.
Ini kerana, katanya, tiada satu pun daripada tiga syarikat yang dipilih mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam sektor automotif.
“Bagaimana kementerian boleh melantik syarikat baru, syarikat tiada pengalaman berkaitan untuk menjalankan proses pemeriksaan kenderaan yang bakal melibatkan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam catatan Facebook semalam.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat - yang turut disemak oleh Malaysiakini - Nurul Islam menegaskan bahawa Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd kedua-duanya terlibat dalam perniagaan yang tidak berkaitan dengan automotif.
Perniagaan Pakatan Petroleum adalah perdagangan petroleum, gas, dan perniagaan yang berkaitan, manakala Beriman Gold terlibat dalam pembinaan, telekomunikasi dan multimedia, serta keselamatan dan sistem IT.
Sementara itu, syarikat ketiga - Wawasan Bintang Sdn Bhd - menyenaraikan pemeriksaan kenderaan bermotor sebagai perniagaannya.
Bagaimanapun, Nurul Islam berkata syarikat itu baru berusia lapan bulan dan tidak mempunyai rekod prestasi awam.
"Carian aku tak jumpa sebarang pengalaman syarikat ni dalam bidang automotif," katanya.
Selanjutnya, dia mempersoalkan bagaimana sebuah syarikat berusia lapan bulan yang masih belum memfailkan penyata kewangan dan laporan audit membuktikan bahawa ia mempunyai kewangan yang kukuh.

Kewangan yang kukuh adalah salah satu kriteria utama yang Loke sebutkan semasa memilih syarikat berkenaan.
Kriteria lain yang dinyatakan ialah mempunyai sekurang-kurangnya RM10 juta modal berbayar, dimiliki anak tempatan, dan mematuhi garis panduan permohonan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor.
Nurul Islam seterusnya mempersoalkan mengapa Wawasan Bintang dianugerahkan tiga lokasi manakala dua lagi syarikat hanya diberi dua lokasi setiap satu.
Loke mengumumkan pelantikan ketiga-tiga syarikat itu pada Jumaat lalu.
Dia dilaporkan sebagai berkata bahawa pemohon yang tidak berjaya gagal memenuhi kriteria yang ketat, termasuk mengelakkan konflik kepentingan dalam perkhidmatan pembaikan, perdagangan atau pengubahsuaian kenderaan.





