Keluarga truper Abdul Hamid Talib, anggota komando yang kini berada dalam keadaan vegetatif selepas satu insiden di kem tentera di Johor, membidas Menteri Pertahanan Khaled Nordin kerana didakwa gagal memberikan penjelasan tuntas mengenai kes tersebut.
Ini susulan kenyataan ringkas menteri itu pada Khamis lalu, yang menurut mereka hanya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Peguam keluarga, N Surendran, mempersoalkan Khaled kerana tidak bersikap telus mengenai kejadian sebenar menimpa anggota Pasukan Khas Tentera Darat itu, yang mereka percaya berpunca daripada hukuman fizikal.
“…menteri pertahanan tidak memberikan penjelasan mengapa keluarga truper Abdul Hamid dimaklumkan bahawa dia mengalami kecederaan teruk tersebut akibat terjatuh di bilik mandi.
“Ini jelas tidak benar, dan pihak polis sendiri telah mengesahkan bahawa dua anggota tentera telah ditahan dan sedang disiasat berhubung kecederaan yang dialami oleh truper Abdul Hamid.
“Mengapa maklumat yang tidak tepat diberikan kepada keluarga? Siapakah yang bertanggungjawab dan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mereka?” kata peguam itu dalam satu kenyataan.

Surendran berkata menteri itu juga gagal menjelaskan mengapa mangsa hanya dibawa ke hospital pada 12 Mac, sehari selepas dia rebah, yang didakwa akibat serangan fizikal.
“…menteri juga gagal menyatakan sama ada semua komander dan pegawai tentera yang bertanggungjawab telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
“Bagaimana siasatan yang berkesan dan menyeluruh boleh dijalankan jika semua pihak yang berpotensi bersalah masih bertugas aktif di kem tersebut?” tambahnya.
Menurut Surendran, keluarga mangsa menuntut Khaled dan kerajaan menjelaskan bagaimana hukuman fizikal itu dikenakan ke atas Hamid dan sama ada tindakan sedemikian dibenarkan oleh kementerian.
Mereka juga mahu kementerian itu mendedahkan kepada umum hasil siasatan dalaman yang dijalankan oleh pihak tentera berhubung insiden tersebut.
Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan Hamid mengalami kecederaan parah ketika berada di Kem Iskandar, Mersing pada 11 Mac lalu.
Hamid mengalami kecenderaan serius di bahagian kepala dengan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
Anggota komando itu kini berada dalam keadaan vegetatif di mana dia tidak mampu bercakap, makan atau mengenali persekitarannya, dan bergantung sepenuhnya kepada tiub serta alat bantuan pernafasan.
Khaled dalam satu kenyataan berkata kementerian itu menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes tersebut serta dua individu yang dipercayai terlibat.
Pada masa yang sama, Tentera Darat Malaysia turut menjalankan siasatan dalaman, katanya.





