Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli ‘mencadangkan’ Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah, yang juga anak Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.
Cadangan itu dikemukakan susulan ulasan Anwar terhadap laporan yang mendakwa bos SPRM sekarang mempunyai saham melebihi had, selain tuduhan badan antirasuah itu bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat.
“Macam itu baik lantik Nurul Izzah je jadi ketua pesuruhjaya SPRM, sebab anak sendiri, confirm tak timbul isu lantik perasuah jaga SPRM,” sindir Rafizi, yang juga penyandang jawatan timbalan presiden PKR sebelum Nurul Izzah.
Menulis di media sosial, Rafizi berkata dia kecewa dengan jawapan Anwar yang “lari dari menjawab soalan” serta “pusing” dan “konar”.
Anwar dilaporkan berkata:
“Orang buat kerja nak pecat mengapa, nak suruh ambil perasuah jaga.
“Baca penjelasan Azam Baki. Dia buat kerja, buat apa maki dia. Dengar penjelasan masing-masing.”
Menyifatkan dia kecewa dengan jawapan “tiada ommmph” itu, Rafizi berkata dia tabik dengan “kemahiran lari dari menjawab soalan” itu.
“Jawapan PMX: dia buat kerja, nak suruh ambil perasuah jaga.
“Dua-dua jawapan ke laut,” katanya.
Katanya, jika alasan itu diterima, bekas perdana menteri Najib Razak juga tidak perlu masuk penjara.
“Sembilan tahun beliau jadi perdana menteri, ada jasa beliau dan ada hasil kerja beliau,” kata Rafizi.
“Tetapi, bila sudah terbukti ada pecah amanah yang melanggar undang-undang, maka beliau telah dijatuhkan hukuman.
“Tidak ada satu undang-undang pun di dunia ini yang mensyaratkan seseorang yang melakukan jenayah hanya boleh dihukum jika pesalah tidak buat kerja atau tiada kebaikan.”





