Lanjutan ketiga untuk kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di bawah kerajaan Madani mencerminkan gambaran buruk terghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata ahli ekonomi politik Edward Terence Gomez.
Gomez, yang juga pengerusi lembaga Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4), menekankan bahawa Anwar dan rakan-rakan politik Pakatan Harapan (PH) secara konsisten mendakwa mereka memperjuangkan tindakan menentang rasuah.
Ikrar sedemikian, kata Gomez tanpa menapis kata-katanya, adalah tidak bermakna memandangkan tempoh Azam dilanjutkan ketika dakwaan rasuah dilemparkan terhadapnya.
“Persoalan yang kamu mesti tanya diri sendiri ialah: Mengapa perdana menteri yang mendakwa dia menentang rasuah (dan bahawa) agenda utamanya adalah untuk menangani rasuah, mengekalkan seseorang yang dicemari dengan tuduhan serius sebagai ketua pesuruhjaya SPRM?
“Memburukkan lagi keadaan, (Anwar) meneruskan untuk melanjutkan (kontrak Azam).
"Saya terkejut dengan lanjutan kontrak Azam. Ini memberi gambaran yang sangat buruk terhadap pentadbiran (Anwar) dan gesaannya bahawa dia akan menamatkan rasuah, atau sekurang-kurangnya cuba membendungnya," kata aktivis itu semasa majlis pelancaran bukunya di Kuala Lumpur hari ini.
Pelancaran buku Gomez, bertajuk "Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia", dianjurkan bersama oleh Pusat C4 dan Gabungan untuk Integriti Perniagaan. Adalah difahamkan seorang wakil SPRM adalah sebahagian daripada hadirin, hari ini.
Menekankan keperluan untuk pembaharuan institusi yang akan memastikan kebebasan SPRM, Gomez berkata sektor tertentu orang awam menganggap suruhanjaya antirasuah itu melaksanakan "pendakwaan terpilih" terhadap individu yang dianggap tidak sehaluan dengan kerajaan.





