Pelakon dan usahawan, Adam Corrie menegaskan kebajikan pekerja sentiasa menjadi keutamaan dalam menguruskan restoran miliknya, Kopihut termasuk memastikan urusan pembayaran gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan dengan telus.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Selalu Sampai Awal Di Set, Saya Boleh Buat Banyak Perkara’ – Adam Corrie
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Tegas Bab Solat, Setiap Hari Dia Kena Solat Berjemaah Walaupun Baru 8 Tahun’ – Adam Corrie
Kebajikan pekerja dijaga

Adam, 57, berkata setiap pekerja perlu diberikan penjelasan yang jelas sekiranya terdapat sebarang potongan gaji, selain mengetahui tujuan dan ke mana wang berkenaan disalurkan.
Perkara paling penting ialah memastikan kebajikan pekerja terjaga dan semua urusan berkaitan gaji serta potongan KWSP dilakukan dengan betul.
Saya sudah memaklumkan kepada pekerja bahawa jika terdapat potongan, mereka perlu diberikan penjelasan dan mengetahui ke mana wang tersebut disalurkan. Majikan perlu menguruskan perkara ini dengan telus.
Saya memerlukan mereka dan mereka juga memerlukan saya. Jadi, hubungan antara majikan dengan pekerja bukan sekadar saya menjadi bos dan semua orang perlu mengikut arahan saya.
Sebab itu, setiap hari Isnin kami mengadakan mesyuarat untuk mendengar masalah mereka. Kalau ada perkara yang tidak betul, kami akan cuba memperbaikinya.
Adam berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman cawangan pertama Kopihut yang menerima sijil halal di Cyberjaya, baru-baru ini.
Pernah jadi pekerja

Menurut Adam lagi, pengalamannya sendiri sebagai pekerja sebelum bergelar usahawan turut mempengaruhi cara dia menguruskan kebajikan kakitangan.
Sebagai pekerja dahulu, saya juga pernah merasakan kebajikan saya tidak dijaga oleh majikan. Namun, sekarang bukanlah saya mahu membalas dendam terhadap sesiapa.
Sebaliknya, apabila menjadi bos, saya memastikan pekerja mendapat layanan baik. Orang yang datang menghadiri temu duga dengan saya kebanyakannya bukan orang senang. Mereka kerja siang malam untuk mencari rezeki.
Dalam pada itu, Adam mendedahkan terdapat dua perkara yang menjadi keutamaannya sebelum membuka restoran iaitu memberi ruang kepada pekerja untuk menunaikan solat dan memastikan kewajipan membayar zakat perniagaan.
Membayar zakat memang antara niat pertama saya sebelum membuka kedai. Saya pernah memberitahu bahawa ada dua perkara yang saya mahu pastikan sejak awal perniagaan.
Pertama, saya mahu pekerja diberikan peluang untuk menunaikan solat, terutamanya solat Jumaat. Saya sudah berpesan supaya mereka dibenarkan pergi menunaikan solat Jumaat walau apa pun keadaannya.
Kalau tiada pekerja yang boleh menjaga premis kerana semuanya lelaki dan perlu pergi menunaikan solat Jumaat, tutuplah kedai selama dua jam. Bagi saya, keberkatan itu penting.
Kedua, saya mahu membayar zakat tanpa mengira sama ada perniagaan memperoleh keuntungan banyak atau sedikit. Zakat tetap perlu dibayar. Alhamdulillah, akhirnya hasrat dan niat saya untuk membayar zakat tercapai.
Sementara itu, pada majlis sama turut berlangsung pertandingan Lapar Battle yang dianjurkan oleh Lapar Society iaitu sebuah pertandingan yang membantu peniaga-peniaga kecil mempromosikan produk mereka.
Pertandingan Lapar Battle edisi pertama itu menawarkan hadiah sehingga RM600,000 dan sebuah restoran kepada pemenang utama.
The post Adam Corrie Sanggup Tutup Restoran Demi Pekerja Lelaki Solat Jumaat, Untung Rugi Tetap Bayar Zakat first appeared on OHBULAN!.





