28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 21, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    KWAP rugi: Pemuda PAS desak Anwar lepas jawatan menteri kewangan

    Shopee Sale

    Kontroversi berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery terus memuncak apabila Pemuda PAS menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan susulan kerugian RM163.4 juta yang ditanggung dana persaraan itu.

    Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata isu berkenaan bukan sekadar melibatkan pelaburan, tetapi turut membabitkan soal kepercayaan awam dan akauntabiliti, sambil menegaskan setiap ringgit dana persaraan diamanahkan kepada rakyat.

    Dia yang juga anggota Parlimen Alor Setar turut menuntut agar pengerusi KWAP, Johan Mahmood Merican, digantung tugas sehingga siasatan selesai.

    Johan juga merupakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

    Dalam hantaran di Facebook, Afnan berkata kenyataan Anwar di Dewan Negara yang menggesa SPRM menjalankan siasatan berhubung isu itu adalah sesuatu yang "amat mengecewakan".

    “Rakyat tidak hanya mahukan siasatan, tetapi mahu mengetahui siapa yang bertanggungjawab meluluskan pelaburan tersebut dan bagaimana proses tadbir urus KWAP boleh gagal sehingga dana rakyat terdedah kepada penipuan.

    “Alasan bahawa KWAP masih mencatat keuntungan berbilion ringgit langsung tidak boleh dijadikan justifikasi untuk memperkecilkan kehilangan RM163.4 juta. Setiap ringgit dana persaraan adalah amanah kepada rakyat, bukannya angka yang boleh dipandang ringan.

    “Sebagai Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab politik. Beliau mesti tampil memberi penjelasan yang menyeluruh, bukannya sekadar memberikan jawapan bersifat teknikal," katanya.

    Selain menggesa Anwar dan Johan meletakkan jawatan, Afnan turut menuntut siasatan bebas dan telus terhadap keseluruhan proses pelaburan berkenaan.

    "Tiada siapa yang boleh terlepas daripada dipertanggungjawabkan," tambahnya.

    Pada 16 Julai lalu, , Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa KWAP kerugian kira-kira RM200 juta selepas diperdayakan menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan oleh sebuah syarikat pemula akuakultur di Indonesia, eFishery.

    Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Anwar berkata pelaburan itu telah melalui proses tadbir urus KWAP, termasuk penilaian dalaman, usaha wajar (due diligence) bebas serta semakan terhadap kedudukan kewangan, perundangan dan operasi syarikat sebelum diluluskan.

    MENARIK:  Malaysia kutuk serangan Israel bunuh lebih 100 rakyat Palestin

    KWAP bersama pelabur lain sejak itu telah memulakan tindakan undang-undang dan sedang berusaha mendapatkan semula dana terbabit, di samping memperkukuh tadbir urus dalaman.

    Semalam, Anwar berkata pergantungan kepada firma audit tidak seharusnya menjadi satu-satunya asas dalam membuat keputusan pelaburan susulan kerugian hampir RM200 juta yang dialami KWAP dalam eFishery.

    Dia berkata dua firma audit antarabangsa telah meluluskan pelaburan itu, manakala sebuah lagi tidak sempat melengkapkan proses pengesahannya.

    Mengimbas skandal 1MDB, Anwar berkata syarikat-syarikat antarabangsa yang bereputasi, termasuk Goldman Sachs dan sebuah firma audit utama, turut terlibat dalam kes berkenaan.

    Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun di Bandung atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

    Minggu lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim turut menggesa Anwar meletakkan jawatan berhubung isu tersebut.

    Dalam kenyataan di Facebook, ahli Parlimen yang lantang bersuara itu mendakwa lembaga pengarah KWAP, panel pelaburan dan pengurusan tertinggi dana tersebut telah melakukan kecuaian yang besar sehingga dana persaraan penjawat awam ditipu.

    "KWAP juga telah diperdayakan dalam Skandal Penyelewengan SRC International berbilion ringgit sehingga Perdana Menteri yang bertanggungjawab ketika itu dihukum bersalah lalu dijatuhkan hukuman penjara dan denda.

    “Tidak serik dan mempelajari isu skandal SRC International oleh Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan Pengurusan tertinggi KWAP, kini mereka yang diamanahkan oleh negara melakukan kesalahan yang sama.

    “Dalam prinsip akauntabiliti dan pertanggungjawban juga, oleh kerana KWAP berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan di mana Anwar adalah Menteri Kewangan, maka saya sebagai seorang ahli Parlimen penyokong Kerajaan Madani di Dewan Rakyat menyeru kepadanya supaya membuat contoh teladan yang baik dan bertanggungjawab mengambil keputusan yang berani dengan meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan Malaysia dalam kadar yang segera,” tegas Hassan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah