Jabatan Penjara masih belum memberi respins mengenai kematian seorang banduan di Negeri Sembilan dan dakwaan penyeksaan terhadap seorang lagi banduan di Penjara Simpang Renggam, Johor.
Percubaan untuk mendapatkan komen daripada agensi itu tidak berjaya sejak Jumaat, apabila NGO hak asasi manusia Suaram mengeluarkan kenyataan menuntut pertanggungjawaban atas insiden yang didakwa itu.
Menurut Pengarah Eksekutif Suaram, Azura Nasron, seorang banduan berusia 69 tahun meninggal dunia di Penjara Temiang, Negeri Sembilan, pada 22 Jun ketika menjalani hukuman penjara dua bulan, didakwa akibat penyakit kritikal.
Dia berkata keluarga lelaki itu keliru dengan kematiannya, kerana dia dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Azura berkata, ahli keluarga dihalang daripada melihat mayat itu pada hari yang sama.

Dalam kejadian kedua, dia berkata Suaram dimaklumkan oleh ahli keluarga seorang banduan di Penjara Simpang Renggam, Johor, yang mendakwa seorang pengawal penjara telah menyeksa banduan tersebut pada 4 Jun.
Warden itu didakwa menggunakan paip untuk memukul tapak kaki banduan tiu, mengakibatkan kecederaan parah.
Walaupun telah membuat laporan polis dan mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa penjara, Azura berkata banduan itu tidak dipindahkan ke pusat tahanan lain.
Dia menegaskan bahawa dakwaan terbaru itu membimbangkan, memetik kejadian Penjara Taiping baru-baru ini, yang didakwa oleh pihak berkuasa sebagai rusuhan dan mengakibatkan kematian seorang banduan dan kecederaan kepada ramai lagi susulan dakwaan serangan oleh pengawal penjara.
Tambah Azura, insiden tersebut menunjukkan bahawa sistem penjara kekal dalam keadaan kritikal, ditandai dengan kekurangan pembaharuan struktur yang teruk, mekanisme pengawasan yang gagal, dan budaya kekebalan dari hukuman.
Suaram menggesa Jabatan Peguam Negara untuk mengarahkan inkues yang telus terhadap kematian di Penjara Temiang, sambil menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara untuk memberikan rekod perubatan penuh, penemuan bezah siasat dan penjelasan mengenai insiden tersebut kepada keluarga tersebut.
Kumpulan itu juga menuntut tindakan terhadap pegawai yang didapati cuai atau terlibat dalam dakwaan layanan buruk terhadap banduan.





