PRN NEGERI SEMBILAN | Berpaksikan slogan “Yang Lemoh Dibelo, Yang Susah Dibantu”, Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini melancarkan manifesto lima teras bagi DUN Rahang yang memfokuskan kepada kebajikan marhaen dan akauntabiliti kerajaan tempatan.
Calon PSM Tinagaran Subramaniam berkata, manifesto tersebut berteraskan lima isu dirangka hasil daripada siri tinjauan lapangan, pertemuan bersemuka, serta aduan awam yang menggariskan isu sebenar penduduk tempatan.
"Walaupun Rahang mengalami pembangunan fizikal yang pesat, sebilangan besar penduduk masih bergelut dengan kelemahan infrastruktur asas dan tekanan kos sara hidup.
"Manifesto ini bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya komitmen untuk membina Rahang yang lebih adil, selamat, dan mesra rakyat. Pembangunan mesti memberi manfaat kepada semua, bukan segelintir pihak sahaja," katanya dalam sidang media hari ini.
Antara tawaran utama PSM adalah komitmen menangani isu banjir kilat berulang di kawasan berkenaan.
"Kami berikrar untuk melaksanakan audit menyeluruh terhadap sistem saliran, mewujudkan pelan tindakan di kawasan titik panas (hotspot), serta membentangkan laporan berkala pembersihan sungai dan longkang secara terbuka kepada awam," katanya.
Dari sudut kebajikan, katanya, PSM terus konsisten membawakan agenda perlindungan sosial dengan menggesa pelaksanaannya di peringkat negeri.
Katanya, dia akan menuntut peruntukan negeri bagi bantuan kewangan bulanan khusus untuk penduduk berusia 65 tahun ke atas.
"Kami juga menubuhkan satu pusat aktiviti warga emas berasaskan sukarela serta menjalankan audit kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di tempat awam,” katanya.
Tambahnya, PSM Rahang sedia menampilkan inisiatif pembelaan undang-undang dan pendidikan alternatif.
"Kami akan mewujudkan One Stop Center (OSC) untuk pekerja mendapat nasihat dan perkhidmatan serta mempromosi Sistem Aduan Pekerja (SIAP) untuk memberi nasihat secara talian kepada pekerja secara percuma dan mewakili pekerja di Mahkamah Buruh dan Industri
"Selain itu PSM juga akan menubuhkan Pusat Pelajar Marhean (PPM) dimana golongan B40 diberi pendidikan alternatif secara percuma dan dikendalikan oleh sukarelawan," katanya.
Tambahnya lagi, bagi meningkatkan ketelusan PBT, PSM mengusulkan penubuhan Majlis Perundingan Rakyat (MPR) di setiap taman dan kampung sebagai “mata dan telinga” penduduk untuk memantau perkhidmatan PBT.
"Selain itu, kami akan meggesa pemansuhan cukai SST 6% bagi bayaran parkir, peningkatan kemudahan pejalan kaki, penambahan kekerapan bas awam, serta inisiatif pemuliharaan alam sekitar di seluruh DUN Rahang," katanya.
Pada PRN kali ini, Tinagaran bakal berdepan pertarungan empat penjuru di DUN Rahang yang mempunyai jumlah 19,715 pengundi.
Tinagaran disaingi oleh penyandang Desmond Siau Meow Kong dari (PH-DAP), Yap Siok Moy (BN-MCA) dan Tang Jay son dari (Bersatu).
Pada PRN 2023, Desmond menang kerusi tersebut dengan majoriti 6,432 undi.





