Polis Kelantan memperkenalkan strategi baharu bagi membanteras penyalahgunaan dadah dengan mewajibkan setiap Ketua Polis Balai (OCS) melakukan sekurang-kurangnya satu tangkapan berkaitan dadah setiap hari bermula 15 Julai lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pendekatan itu dilaksanakan selepas statistik tangkapan dadah menunjukkan penurunan walaupun operasi penguatkuasaan ditingkatkan.
Beliau berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kes dadah menurun 13 peratus kepada 13,957 kes berbanding 15,051 kes dalam tempoh sama tahun lepas, manakala tangkapan turut berkurang 10 peratus kepada 14,640 orang berbanding 16,182 orang.
“Kita ubah konsep. OCS perlu memainkan perananan di kawasan masing-masing kerana mereka sepatutnya mengetahui lokasi penagih dan kegiatan dadah di bawah pentadbiran mereka.
“Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah pula akan memberi fokus kepada pembekal dan pengedar, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK memberi tumpuan kepada sindiket lebih besar,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini.
Mohd Yusoff berkata keberkesanan pelan itu akan dinilai selepas tiga bulan menerusi semakan dan bezah siasat operasi.
Beliau berkata tindakan tatatertib akan dipertimbangkan terhadap pegawai serta anggota yang gagal mencapai sasaran ditetapkan.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata penipuan komersial atau scam di Kelantan meningkat lebih 100 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak 1,480 ked dengan kerugian RM23.6 juta, berbanding 732 kes dan kerugian RM17 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
“Antara kes yang kerap dilaporkan ialah penipuan pelaburan, love scam, phone scam, tawaran pekerjaan, pinjaman tidak wujud dan pembelian dalam talian,” katanya.
Beliau berkata polis akan terus mempergiat kempen kesedaran menerusi media sosial dan berharap pengamal media turut membantu mendidik masyarakat supaya tidak mudah terpedaya.





