Warisan membidas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang berkata pihaknya tidak boleh menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan skandal rasuah di Sabah kerana kekurangan maklumat.
Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking menyifatkan kenyataan Azam itu sebagai tidak masuk akal.
Berkongsi kekecewaannya di Facebook, Adun Moyog itu membandingkan siasatan SPRM terhadap skandal itu dengan kes rasuah lain yang menyaksikan suspek direman dengan bukti yang lebih sedikit.
“Begitu banyak kali kita telah membaca dan melihat di mana reman bagi tujuan siasatan menyeluruh oleh SPRM telah dibuat sebelum ini malah pertuduhan seterusnya telah dibawa ke mahkamah walaupun untuk maklumat yang lebih sedikit.
"(SPRM telah menahan reman suspek) walaupun tanpa sebarang video di mana pelakon dalam video itu mengaku menerima wang untuk perbualan 'kamu tolong saya, saya tolong kamu'.
"Seseorang tidak boleh untuk tidak membuat spekulasi dan berfikir bahawa kurangnya tindakan seperti ini adalah bagi memanjangkan hayat politik semua mereka yang didakwa terlibat kerana sangat mudah untuk mengawal mereka yang menyembunyikan salah laku? Bolehkah seseorang dipersalahkan kerana membuat tanggapan seperti ini?" soalnya.
Awal hari ini, Azam dalam temu bual Astro Awani berkata kekurangan maklumat telah menjadi cabaran terbesar SPRM dalam menyiasat dakwaan skandal rasuah, yang membabitkan pemimpin negeri Sabah.
Menurut Azam, ini disebabkan oleh keengganan pemberi maklumat untuk berkongsi video yang menunjukkan perbualan yang dikatakan dengan wakil rakyat yang terlibat.
“Dalam kes ini, whistleblower berkenaan masih tidak mahu kongsi video berkaitan, jadi maklumat (video diterbit Malaysiakini) kita ada itu terlalu sedikit dan sukarkan siasatan kami,” kata Azam.
Leiking dalam kenyataannya turut menggesa Azam supaya tidak menyumbang kepada kerosakan akibat rasuah di Sabah.
"SPRM dengan tiada tindakan, adakah anda sedar bahawa anda menggalakkan lebih banyak perbuatan rasuah yang tidak diketahui yang berlaku di Sabah untuk diteruskan dan terus merosakkan Sabah?" katanya.
Sejak November, Malaysiakini telah menerbitkan lebih lapan video dan tangkapan skrin WhatsApp berkaitan kes itu.
Pemberi maklumat, seorang ahli perniagaan, mendakwa bahawa video itu merakam perbincangan mengenai rasuah yang ditawarkannya kepada beberapa Adun sebagai pertukaran untuk lesen carigali mineral.
Semasa perbincangan itu, Adun, termasuk mereka yang mempunyai portfolio kanan, turut mengaitkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dalam dakwaan mengedarkan lesen sebagai "hadiah" pertukaran sokongan mereka semasa krisis politik negeri 2022.
Hajiji telah menafikan dakwaan itu sebagai cubaan untuk memburukkan pentadbirannya, serta menuduh pemberi maklumat itu bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepentingan.





