Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata pucuk pimpinan parti akan meredakan krisis dalaman penolakan kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah dalam masa terdekat.
Katanya, pucuk pimpinan parti mengetahui krisis berkenaan.
"Parti politik macam PKR yang terbuka sentiasa dinamik, termasuk PKR Sabah.
"Di Sabah ada sedikit berbeza pandangan tentang kepimpinan negeri.
"(Perkara ini) dalam pengetahuan PKR pusat dan dalam masa terdekat kita akan cuba redakan masalah tersebut," katanya kepada pemberita di Majlis Perjumpaan Khas Menteri Dalam Negeri bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pengamal Media di Putrajaya, semalam.
Terdahulu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ditanya sama ada isu pergolakan PKR Sabah dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) parti yang diadakan baru-baru ini.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata bahawa dia tidak mempunyai maklumat mengenai isu tersebut kerana tidak menghadiri mesyuarat itu.
Terdahulu, pada 17 Mac, seramai 15 ketua cabang PKR dari Sabah melalui akuan berkanun (SD) menolak kepimpinan Sangkar Rasam sebagai Pengerusi MPN Sabah.
Sementara itu, mengulas isu berasingan, Saifuddin yang juga pemantau majlis pimpinan PKR negeri Kedah berkata bahawa dia tidak mempunyai sebarang isu dengan menteri besar negeri itu Muhammad Sanusi Md Nor.
Menjawab soalan pemberita, katanya hubungan dia dengan pemimpin PAS itu masih baik walaupun terdapat pertikaian berhubung mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN).
"Saya tiada masalah dengan dia (Sanusi), jumpa di parlimen salam elok, sembang elok, tidak ada masalah. Cuma peringkat jawatankuasa pembangunan negeri, saya mewakili persekutuan, dia sebagai menteri besar pengerusikan bersama mesyuarat.
"Lepas setahun fokus saya memantau, memastikan semua projek persekutuan jalan ikut jadual. Saya turun padang macam biasa.
"Saya faham Sanusi ada tanggungjawab berat di Kedah. Biar kita buat dalam urusan kerja masing-masing dulu. Jika, ada keperluan ke hadapan kita tengoklah, tidak ada gaduh-gaduh," katanya.
Sebelum ini, Sanusi merungut ketiadaan mesyuarat MTPN.
Sanusi melahirkan rasa kecewa terhadap dakwaan bahawa Saifuddin enggan mengadakan mesyuarat itu.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata sikap Sanusi tidak menjaga rahsia menjadi antara faktor menyebabkan mesyuarat itu tidak diadakan lebih setahun.
Justeru, Saifuddin berkata Sanusi tidak sepatutnya merungut mengenai perkara berkenaan.
Secara sinis, Saifuddin juga berkata dia mahukan Sanusi memberi tumpuan sepenuhnya membangunkan Greater Kedah, manakala dia hanya akan memberi perhatian terhadap beberapa projek kecil di negeri itu.





