28.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 2, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Guan Eng, Pua junjung kasih atas titah Sultan Selangor

    Shopee Sale

    Lim Guan Eng bersama bekas pegawai khasnya ketika dia menjadi menteri kewangan, Tony Pua, mempertahankan keputusan mereka untuk menyemak semula perbelanjaan bagi projek LRT3 sewaktu berada dalam kerajaan dulu.

    Kenyataan tersebut hadir selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengkritik Lim dan Pua terkait pengurangan pembiayaan projek tersebut yang dianggap dibuat tanpa pertimbangan sewajarnya ke atas kepentingan awam.

    Dalam kenyataan itu, Lim dan Pua menjelaskan, pengurangan tersebut dibuat berikutan kos projek yang melonjak, serta bertujuan untuk mengutamakan fungsi tanpa menjejaskan permintaan penumpang.

    Ia termasuk potensi penjimatan sebanyak RM10 bilion dalam bentuk faedah sepanjang 25 hingga 30 tahun akan datang hasil daripada beban hutang yang lebih rendah apabila kos LRT3 yang juga lebih rendah.

    “Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa penjimatan kepada kerajaan Malaysia ini bukan dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT.

    “Penjimatan ini seterusnya membolehkan kerajaan semasa dan akan datang mengagihkan semula dana untuk manfaat kebajikan rakyat serta perbelanjaan pembangunan.

    “Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan Tuanku terhadap projek LRT3, yang sepertimana diperkenankan Tuanku, memainkan perananan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, masa perjalanan dan menjadi pemangkin ekonomi bagi pembangunan di Selangor,” kata mereka.

    Berikut adalah kenyataan penuh Lim dan Pua:

    Kami dengan penuh hormat menghargai dan menjunjung kasih atas titah pandangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penyiapan projek LRT3 yang kini dinamakan Laluan LRT Shah Alam.

    Kami ingin dengan penuh hormat dan rendah diri menjelaskan beberapa perkara yang boleh disahkan dengan pihak Prasarana dan MRCB Bhd.

    Pertama, projek LRT3 tidak pernah dihentikan, terbengkalai atau digantung semasa pentadbiran PH antara 2018 hingga 2020. Kami juga ingin menegaskan bahawa pentadbiran PH ketika itu menyokong sepenuhnya projek LRT3 dan menganggapnya sebagai projek kritikal lagi penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan harian penduduk Lembah Klang.

    Kedua, pada 2015, pentadbiran BN di bawah Perdana Menteri Najib Razak meluluskan RM9 bilion untuk projek LRT3 dan memberikan Prasarana jaminan kerajaan berjumlah RM10 bilion bagi tujuan meraih dana projek. Akan tetapi, Prasarana telah menganugerahkan pelbagai kontrak pakej kerja (work package contracts atau WPC), berjumlah RM15.2 bilion pada Mac 2018, jauh melebihi peruntukan asal RM9 bilion yang telah diluluskan.

    Setelah mengambil kira semua kos lain, termasuk - tetapi tidak terhad kepada - pengambilan tanah, yuran rakan pelaksana projek (project delivery partner atau PDP), dan perunding, serta faedah yang akan ditanggung sepanjang tempoh pembinaan, Prasarana pada Mac 2018 mengemukakan cadangan belanjawan projek baru sebanyak RM31.65 bilion serta permohonan tambahan jaminan kerajaan sebanyak RM22 bilion bagi mendapatkan pembiayaan untuk projek tersebut.

    Ketiga, selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018, kerja-kerja projek diteruskan tanpa gangguan, sementara pentadbiran baru bekerjasama rapat dan secara baik dengan PDP yang telah dilantik, iaitu MRCB-George Kent, bagi merasionalisasikan kos projek.

    Sultan Sharafuddin Idris Shah

    Keempat, memandangkan projek LRT3 pada ketika itu hanya siap sebanyak 9 peratus, kami mengambil peluang untuk melantik perunding kejuruteraan bebas bagi meneliti dan mencadangkan langkah-langkah rasionalisasi demi memastikan akauntabiliti yang sewajarnya terhadap projek tersebut.

    Langkah itu adalah penting kerana terdapat banyak hutang luar kunci kira-kira yang “tersembunyi” yang ditanggung semasa pentadbiran Najib. Ini adalah tambahan kepada puluhan bilion ringgit hutang yang ditanggung akibat skandal 1MDB bernilai RM50 bilion.

    MENARIK:  Subsidi RON95: Belum ada kertas dasar pelaksanaan, kata PM

    Perlu ditekankan bahawa mandat semakan tersebut menetapkan bahawa saiz dan skala projek mestilah memenuhi permintaan penumpang berdasarkan kajian trafik, serta perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    Kelima, jemaah menteri telah meluluskan semakan kos menurun sebanyak 47 peratus, daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM15.02 bilion.

    Keenam, kami mengutamakan fungsi dan kepraktisan berbanding kemewahan dan kemegahan. Tiada keperluan untuk membina stesen bersaiz MRT bagi sebuah projek LRT. Langkah-langkah yang diambil termasuk:

    a) Pengurangan bilangan tren: tempahan rolling stock dikurangkan daripada 42 set tren 6 gerabak kepada 22 set tren 3 gerabak, selaras dengan kajian trafik penumpang sehingga 2035 yang dijalankan oleh perunding bebas dan diluluskan oleh SPAD.

    b) Penangguhan (bukannya pembatalan) pembinaan lima stesen LRT yang mempunyai unjuran penumpang awal yang rendah, sehingga permintaan masa hadapan mewajarkan pembinaannya, dengan peruntukan teknikal disediakan supaya kelima-lima stesen LRT tersebut boleh dibina pada masa hadapan.

    c) Kelima-lima stesen tersebut sejak itu dimasukkan semula selaras dengan perkembangan semasa. Kerajaan kini telah menganugerahkan kontrak fasa kedua sebanyak RM5.3 bilion untuk kelima-lima stesen berkenaan, penambahan bilangan tren and penaiktarafan lain.

    Oleh itu, nilai projek meningkat daripada RM16.63 bilion kepada RM21.93 bilion. Jumlah ini masih RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion yang diluluskan semasa pentadbiran Najib.

    d) Tarikh sasaran siap projek dilanjutkan dari tahun 2020 kepada 2024. Sasaran asal tahun 2020 sememangnya mustahil dicapai memandangkan hanya 9 peratus projek disiapkan menjelang pertengahan 2018. Pelanjutan ini menghapuskan kos pecutan, iaitu bayaran premium kepada kontraktor untuk mempercepatkan kerja pembinaan.

    Ketujuh, model PDP telah dimansuhkan. Di bawah model PDP, kontraktor memperoleh bayaran berdasarkan peratusan daripada jumlah kos projek.

    Semakin tinggi kos projek, semakin tinggi yuran yang diterima. Model ini mewujudkan insentif songsang kepada PDP untuk meningkatkan nilai projek. Model PDP tersebut telah ditukar kepada kontrak harga tetap, sekali gus memastikan tiada lebihan kos kepada kerajaan.

    Kelapan, projek LRT3 kini berjaya disiapkan dengan peningkatan dan penambahbaikan tambahan dilaksanakan, sekali gus membolehkan penjimatan kos projek awal melebihi RM9.72 bilion untuk pembayar cukai Malaysia, dengan harga akhir RM21.93 bilion berbanding harga asal RM31.65 bilion yang diluluskan.

    Hasil daripada beban hutang projek yang lebih rendah, kerajaan juga dijangka dapat menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam kos faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.

    Kami ingin menegaskan semula bahawa penjimatan kepada kerajaan Malaysia ini tidak dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT.

    Penjimatan ini sebaliknya membolehkan kerajaan semasa dan kerajaan akan datang memperuntukkan semula dana kepada manfaat kebajikan lain untuk rakyat serta perbelanjaan pembangunan.

    Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku terhadap projek LRT3 yang sebagaimana telah dizahirkan oleh Tuanku, memainkan perananan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan masa perjalanan, serta menjadi pemangkin ekonomi kepada pembangunan di Selangor.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah