Meraih sebanyak 200,889 undian, Qaisyah Khairunnisa telah dinobatkan sebagai juara musim pertama Pentas Little Star anjuran portal Sirap Limau.
Artikel Berkaitan: Sirap Limau Lancar Kempen Pentas Little Star, Peluang Untuk Si Cilik Serlahkan Bakat
Juara musim pertama

Menurut kanak-kanak berasal dari Sabah ini, dia menyifatkan kemenangan tersebut sebagai batu loncatan untuk mengembangkan bakatnya dalam dunia nyanyian.
Dalam masa yang sama, pemilik nama lengkap Qaisyah Khairunnisa Syahlil, 9, itu juga menyatakan hasrat untuk melebarkan sayapnya dengan menyertai pertandingan nyanyian lokal dan antarabangsa.
Saya sangat gembira kerana berjaya mencapai salah satu impian saya, iaitu memenangi pertandingan ini.
Selepas kemenangan ini, saya berharap dapat mengikuti jejak langkah kakak saya, Kak Qahirah, yang pernah mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Saya juga menyimpan impian untuk menjuarai Pertandingan Sugandoi Dazanak peringkat negeri Sabah yang akan datang. Selain itu, saya berharap agar suatu hari nanti dapat menjadi seorang penyanyi yang berjaya, berilmu dan terus mengembangkan lagi bakat dalam bidang seni suara
Sementara itu, ibu kepada Qaisyah iaitu Shanty Jaunan, merupakan insan yang menjadi saksi kesungguhan dan kejayaan anak perempuannya tersebut sepanjang menyertai pertandingan ini.
Pada awalnya, saya akui agak sukar untuk membayangkan Qaisyah menjuarai pertandingan ini kerana peserta Top 20 turut dibarisi bakat-bakat yang sudah dikenali dalam dunia hiburan, seperti adik Azalia, adik Cinta Suci dan lain-lain.
Namun, apabila melihat kesungguhan Qaisyah untuk memenangi pertandingan ini, kami sebagai ibu bapa akan sentiasa memberikan sokongan dan melakukan yang terbaik untuk membantunya mencapai kejayaan.
Selain Qaisyah yang muncul sebagai juara, empat peserta turut menerima hadiah sagu hati berdasarkan undian yang diperoleh, iaitu:
- Amatullah Hamidah (191,022 undi)
- Naufa Nur Azween (66,462 undi)
- Nur Khayla Azzahra (55,250 undi)
- Puteri Azalia (23,420 undi)
Platform bakat cilik

Menurut, Pengurus Kempen Pentas Little Star, Siti Haidatina pihaknya berharap pertandingan itu dapat diteruskan untuk musim seterusnya yang menjadi medium untuk mengetengahkan lebih ramai bakat cilik di negara ini.
Kami berharap Pentas Little Star dapat diteruskan sebagai platform untuk mencungkil dan mengetengahkan lebih ramai bakat cilik di Malaysia.
Menerusi musim pertama ini, kami melihat sendiri betapa ramai kanak-kanak yang mempunyai bakat luar biasa dan berpotensi untuk pergi lebih jauh jika diberikan peluang serta bimbingan yang sewajarnya.
Kami juga berharap pertandingan ini dapat menjadi titik permulaan kepada perjalanan mereka dalam bidang yang diminati, sama ada nyanyian, lakonan atau bakat lain yang mereka miliki.
Semoga semangat yang ditunjukkan sepanjang pertandingan ini akan terus dibawa oleh setiap peserta untuk mengembangkan bakat dan mengejar impian masing-masing.
Pihak penganjur juga berharap, musim pertama ini akan menjadi permulaan kepada usaha berterusan Sirap Limau untuk meraikan keunikan setiap kanak-kanak serta membuka lebih banyak peluang kepada mereka menyerlahkan potensi diri.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, sila layari https://siraplimau.com/pentaslittlestar/index.html dan ikuti Sirap Limau di semua media sosial rasmi @mysiraplimau.
The post Qaisyah Khairunnisa Dinobat Juara Sulung Pentas Little Star, Raih Undian Lebih 200,000 first appeared on OHBULAN!.





