Kerajaan Madani tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu serta tidak menambah bilangan premis perjudian sejak mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022.
Menurut kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan jumlah lesen dan permit yang masih berkuat kuasa adalah berdasarkan kelulusan sedia ada sejak 1990-an.

Penjelasan itu dikeluarkan bagi menjawab kenyataan mengelirukan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung aktiviti perjudian di negeri itu, yang dilaporkan media.
Menurut MOF kenyataan Muhammad Sanusi itu jelas mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Madani tidak mengawal aktiviti perjudian atau membenarkan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di negeri tersebut.
MOF memaklumkan sebagai langkah kawalan, pihaknya menetapkan syarat-syarat yang ketat kepada pemegang lesen.
MOF menjelaskan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi PAS, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.
Menurut MOF dari segi kekerapan cabutan khas, pentadbiran PH pada 2020 memutuskan untuk mengurangkannya daripada 22 kali kepada lapan kali setahun.

Bagaimanapun, pentadbiran Persekutuan selepas itu meningkatkan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.
"Selepas Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023," menurut MOF.
Pada masa sama, MOF memaklumkan Kerajaan Madani terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian.
Pada 12 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Rhodzariah Bujang bersama-sama Collin Lawrence Sequerah dan Azmi Ariffin memerintahkan kerajaan negeri membayar kos sebanyak RM50,000.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Rhodzariah memutuskan kerajaan negeri gagal memenuhi syarat ambang mengikut Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.





