KOLUM | Sistem demokrasi berparlimen mempunyai dua konsep iaitu “rakyat” dan “mandat”. Apabila digabungkan kedua-duannya, maka lahirlah konsep “mandat rakyat.”
Ia dikatakan sebagai konsep kerana perkara ini tidak muncul sendiri tetapi merupakan ciptaan manusia bertamadun untuk mengatur pemerintahan. Maka dibezakan antara pemerintah iaitu “ruler” dengan golongan yang diperintah iaitu “subjects”.
Istilah ini juga berkembang menjadi “people” atau rakyat, suatu perkataan yang lebih beradab. Ini kerana "subjects" itu menggambarkan penaklukan dan pendudukan, seperti perkataan "subjugation.“
Tetapi pemerintah mesti mempunyai justifikasi atau hak untuk memerintah. Inilah yah yang dipanggil sebagai mandat. Apabila manusia menubuhkan pemerintahan, maka hak untuk menentukan undang-undang merupakan mandat.

Sebab itu ada istilah “mandate from heaven” (mandat dari kayangan) dalam sejarah tradisi politik China yang menunjukkan bahawa Maharaja mendapat mandat untuk memerintah.
Maka dalam demokrasi, mandat memerintah hendaklah datang dari rakyat. Rakyat itu memperoleh hak sebagai “warga negara” yang menjadi “pengundi”. Jadi rakyat diwakili oleh wakil rakyat di parlimen atau dewan undangan negeri yang mana wakil itu memperoleh mandat daripada undi terbanyak dalam pilihan raya.
Untuk pemerintahan negara dan negeri, mandat itu dioerolehi melalui parti politik dan gabungan parti politik di mana para pengundi membuat pilihan. Sesiapa yang memperoleh kerusi terbanyak akan jadi kerajaan bagi penggal berkenaan.
Pada tahun 2008, keputusan pilihan raya mengejutkan negara apabila Barisan Nasional (BN) kalah di negeri-negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah. Kelantan kekal di tangan pembangkang PAS. BN dapat mempertahan Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Parti-parti pembangkang yang bertanding ialah PKR, PAS dan DAP. PKR dan PAS bekerjasama dalam gabungan Barisan Alternatif (BA) yang tidak berdaftar kerana halangan peraturan kerajaan.
BA pula berpakat dengan DAP dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga tidak dapat berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah bertanding dengan tiket PKR.
Jadi de factonya, kesemua parti pembangkang, PKR, PAS, DAP dan PSM masuk pilihan raya atas pasukan sama yang diketahui rakyat.
Walaupun manifesto BA dan DAP berlainan, tetapi asasnya tetap sama iaitu menolak BN. Umumnya rakyat faham mengenai kerjasama ini.

Walaupun PAS boleh menang bersendirian di Kelantan tetapi di pantai barat, dari Selangor hingga Kedah, kekalahan BN adalah kerana rakyat memberi mandat kepada BA dan DAP untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Maknanya di Selangor, menteri besar adalah dari PKR dan ahli-ahli exco akan turut disertai oleh DAP dan PAS. Itulah mandat yang diberikan rakyat. Ini kerana setiap calon Adun daripada PKR, PAS dan DAP mendapat undi campuran daripada penyokong ketiga-tiga parti. Calon PAS dapat undi daripada pengundi DAP. Begitu juga, calon DAP memperoleh undi daripada penyokong PAS.
Namun begitu, pada malam keputusan pilihan raya itu ada usaha untuk mengkhianati mandat rakyat ini. Terdapat gerakan daripada BN dan PAS negeri untuk menubuhkan kerajaan dan menafikan penyertaan PKR dan DAP.
Usaha ini gagal kerana ada pemimpin PAS pusat yang menghalang usaha itu kerana perbuatan tersebut adalah mengkhianati mandat. Sementara pihak yang usahakan pembentukan suatu kerajaan negeri PAS-BN menganggap mereka mahu menyelamatkan “kerajaan Melayu.”
Kerajaan Perak tumbang pada 2009
Kalau usaha itu berjaya tentulah majoriti pengundi kecewa kerana pada masa itu mereka mengundi calon Adun PAS dengan pemahaman bahawa kerajaan negeri yang akan ditubuhkan jika menang adalah kerajaan PKR-PAS-DAP dan bukannya kembali pada BN.
Lepas PRU tahun 2008, PKR, PAS dan DAP tubuhkan Pakatan Rakyat (PR). Walaupun ia lebih jelas daripada BA dan menerajui lima kerajaan negeri tetapi ia tetap tidak didaftarkan kerana halangan peraturan ROS dari segi bilangan komponen.
Tahun berikutnya, 2009, kerajaan negeri BA di Perak pimpinan menteri besar PAS Nizar Jamaluddin tumbang kerana seorang Adun DAP dan dua orang Adun PKR keluar parti.

Mereka telah mengetepikan mandat rakyat. Ini kerana majoriti pengundi jeteka menyokong PAS-PKR-DAP untuk memimpin negeri.
Dengan jatuhnya kerajaan PR, maka ditubuhkan kerajaan negeri BN. Sebagai bantahan, Adun-Adun PR mengadakan sidang DUN bawah pokok.
Pada pilihan raya umum 2013, PR tidak dapat mandat rakyat untuk memerintah Perak. PR hanya dapat negeri Selangor dan Pulau Pinang. Tetapi pada tahun 2015, PR bubar kerana PAS tidak mahu lagi kerjasama dengan DAP.
Sedangkan mandat rakyat untuk negeri-negeri adalah kepada PR. Pada waktu sama, PAS juga berpecah apabila sebahagian ahlinya menubuhkan Parti Amanah Negara.

Dengan bubarnya PR, satu pakatan baru ditubuhkan yang dianggota oleh PKR, DAP dan Amanah dengan nama Pakatan Harapan (PH). Maka PH ini merupakan lanjutan kepada PR yang mana Amanah menjadi pengganti PAS dan selanjutnya menghargai mandat rakyat memberi sokongan pada PR.
PH juga tidak dapat didaftarkan. Akibatnya mereka terpaksa menggunakan logo PKR semasa PRU tahun 2018. Gabungan inu hanya dapat didaftarkan apabila mereka menang dan menubuhkan kerajaan mereka.
Pada tahun 2015, Umno juga berpecah. Tahun berikutnya, Bersatu ditubuhkan.
Bersatu kemudian menjadi menyertai PH. Pada PRU tahun 2018, PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad menang pilihan raya di peringkat persekutuan. Rakyat juga memberi mandat pada PH di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Tetapi mandat rakyat yang diberikan kepada PH telah dikhianati apabila PKR pecah dan beberapa ahlinya menyertai Bersatu. Kemudian,Bersatu juga turut bertindak keluar dari PH. Maka ketika itu, PH pimpinan Anwar Ibrahim hanya dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah.
Kerajaan PH tumbang pada tahun 2020 dan negara diperintah oleh kerajaan Bersatu-BN-PAS. Turut tumbang ialah kerajaan negerinSabah, Johor, Melaka, Perak dan Kedah.
Walaupun sah dari segi Perlembagaan, kerajaan-kerajaan itu tidak memiliki mandat rakyat yang dizahirkan dalam PRU tahun 2018.
Mereka inilah yang dikatakan “kerajaan pintu belakang” atau “kerajaan tebuk atap”. Satu istilah yang dicipta oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Apabila dibuat Akta Anti Lompat Parti, maka sekurang-kurangnya dapat menghalang pelanggaran mandat rakyat dalam amalan demokrasi negara ini. Akta itu merupakan hasil daripada suasana ketidakstabilan politik negara apabila kerajaan PH tumbang pada tahun 2020.
Di bawah naungan akta anti lompat parti ini, negara masuk PRU tahun 2022 secara tiga penjuru iairu PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan pakatan Bersatu-PAS-Gerakan.
Ternyata tidak ada gabungan yang memperoleh mandat rakyat bagi membentuk kerajaan kerana ketiga-tiganya gagal memperoleh majoriti mudah.
Tetapi lebih banyak yang mengundi PH barbanding PN dan BN. Rakyat kena terima realiti politik seadanya dan pilihan rakyat yang berbeza-beza mesti dihormati. Sebarang langkah yang memburukkan lagi suasana politik dengan menjejaskan kestabilan negara boleh disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak beretika.

Walaupun tidak ada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah, tetapi kerajaan tetap boleh dibentuk oleh gabungan yang memperoleh kerusi terbanyak iaitu PH untuk membentuk kerajaan minoriti. Walaupun sebagai kerajaan minoriti, ia tetap memegang mandat rakyat dalam erti kata PH mempunyai kerusi terbanyak.
Namun untuk menstabilkan kerajaan, adalah lebih baik ia menubuhkan kerajaan majoriti sebagai kerajaan campuran bagi mencapai kedudukan majoriti.
Tetapi lebih baik lagi ialah jika dapat menubuhkan Kerajaan Perpaduan kerana ia lebih tepat mencerminkan mandat rakyat.
Sebagai gabungan yang memperoleh kerusi terbanyak, ia memiliki mandat rakyat untuk mengundang mana-mana parti bagi membolehkannya mencapai kedudukan majoriti.

PN selaku gabungan kedua terbesar adalah pihak yang sesuai untuk diundang bagi membentuk kerajaan majoriti sebagai kerajaan campuran. Tetapi PN menolak, maka PH mengundang gabungan ketiga di Semenanjung iaitu BN.
Oleh kerana PN tidak menyertai Kerajaan Perpaduan ini, maka tidaklah boleh dikatakan ia sebagai Kerajaan Perpaduan yang penuh. Sungguhpun begitu, ia tetap boleh disebut sebagai Kerajaan Perpaduan yang mencerminkan mandat rakyat PRU tahun 2022.
Apabila pilihan raya negeri diadakan di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, PH dan BN masuk sebagai satu pasukan.
Maka PH-BN bukan saja tidak bertanding di antara satu sama lain tetapi turut berkempen bersama. Maka dalam PRN itu, penyokong PH mengundi BN dan penyokong PH nengundi BN.

Ada antara penyokong PH yang dalam hidupnya tidak pernah mengundi BN tetapi dalam PRN 2023 mereka mengundi BN kerana kerjasama PH-BN.
Maka ternyata PH-BN ini memperoleh mandat rakyat di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Selagi tempoh penggal pilihan raya belum berakhir, mandat rakyat di Negeri Sembilan adalah pada kerajaan PH-BN.
Undi yang diperoleh BN itu ada antaranya datang daripada undi PH. BN melanggar mandat rakyat bila menarik sokongan sebelum tamat tempoh penggal iaitu Ogos 2028.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





