PARLIMEN | Kerajaan mengakui terdapat peniaga yang tidak berupaya meneruskan penyediaan Menu Rahmah susulan menghadapi peningkatan kos.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan komited untuk memastikan Menu Rahmah terus ditawarkan kepada rakyat secara bersasar.
Bagaimanapun kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah yang boleh diambil bagi memastikan peniaga dapat terus menawarkan Menu Rahmah.
"Kita sedia maklum ada peniaga-peniaga yang menyebut kita (peniaga) sudah tidak boleh menawarkan Menu Rahmah disebabkan faktor-faktor antaranya kos (meningkat).
"Kita komited untuk memastikan Menu Rahmah terus ditawarkan secara bersasar, atas sebab itu kita sedang rundingkan tanpa melibatkan bantuan secara langsung dalam konteks subsidi secara langsung kepada peniaga tersebut," katanya ketika sesi penggulangan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Armizan berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan yang dibangkitkan Radzi Jidin (PN-Putrajaya).
Radzi ketika mencelah meminta kerajaan memberi statisktik berhubung perkembangan Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, dalam usaha kerajaan menyokong peniaga untuk terus menawarkan Menu Rahmah, peniaga yang konsisten akan dibenarkan membeli barangan perniagaan dengan kadar yang banyak dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).
"Kita pertimbangkan untuk memberi ruang kepada peniaga Menu Rahmah di kawasan bersasar ini untuk diberikan akses dapat membeli barangan dalam kadar lebih banyak dalam program-program PJRM.
"Tetapi dia (perlu) melalui beberapa kriteria khususnya konsistensi peniaga ini menawarkan Menu Rahmah, kita berbalik kepada asasnya bahawa Menu Rahmah ini adalah satu program tanpa peruntukan daripada kerajaan," katanya lagi.





