Ketua Pemuda Amanah Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan keputusan untuk meninggalkan parti itu, sekali gus melepaskan semua jawatan yang disandang.
Dia berkata langkah tersebut dibuat selepas melalui pertimbangan yang disifatkan sebagai panjang dan mendalam, khususnya melibatkan perananan sebagai pemimpin muda serta hala tuju perjuangan politik yang ingin diteruskan.
"Sepanjang tempoh saya bersama Amanah, saya berusaha sedaya upaya untuk menyumbang kepada pembangunan parti, memperkukuh suara anak muda serta mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan rakyat.
"Namun, saya melihat terdapat jurang yang semakin ketara antara prinsip perjuangan yang saya pegang dengan pendekatan serta keutamaan semasa dalam landskap politik yang sedang dilalui.
"Sebagai seorang pemimpin muda, saya percaya bahawa kepimpinan bukan sekadar soal kedudukan, tetapi soal keberanian untuk kekal berpegang kepada prinsip, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat," katanya pada kenyataan media, hari ini.
Selain mengetuai Pemuda Amanah Perlis, dia turut memegang beberapa perananan lain dalam parti termasuk sebagai ketua Pemuda Amanah Kangar serta ketua Biro Kesihatan Pemuda Amanah Nasional.
Ahmad Fadhzil yang juga bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata keputusannya untuk berundur bukan sahaja melibatkan jawatan, malah keahlian parti secara keseluruhan.
Menurutnya, keputusan tersebut diambil bagi membuka ruang kepada kepimpinan lain meneruskan agenda parti, di samping membolehkannya memberi tumpuan kepada usaha yang lebih dekat dengan masyarakat.
"Di samping itu membolehkan saya menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha yang lebih dekat dengan masyarakat dan selari dengan prinsip perjuangan saya.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pimpinan, rakan seperjuangan serta anggota parti di semua peringkat atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang perjalanan ini," tambahnya.





