Penunggang motosikal dan pemandu kenderaan dari Malaysia yang memasuki Thailand dinasihatkan supaya memahami serta mematuhi undang-undang negara berkenaan bagi mengelakkan dikenakan tindakan.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata pengguna jalan raya perlu mempelajari terlebih dahulu peraturan negara itu kerana terdapat perbezaan undang-undang antara Malaysia dan Thailand, termasuk berkaitan pengubahsuaian kenderaan.
“Begitu juga mereka (warga Thailand) masuk Malaysia pun kena patuh undang-undang kita. Kita masuk sana (Thailand) pun sama kena patuh undang-undang di negara berkenaan.
“Macam ubah suai motosikal, mungkin di Malaysia dibenarkan tetapi di Thailand mungkin tidak dibenarkan sebab itu kita kena fahami undang-undang sebelum masuk ke negara berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Beliau turut menasihatkan pengguna kenderaan supaya mengambil kira keperluan lain seperti perlindungan insurans.
Langkah itu penting bagi mengelakkan pengguna berdepan masalah seperti ditahan atau dikenakan denda ketika berada di negara jiran.
Media sebelum ini melaporkan sekumpulan 17 penunggang motosikal Malaysia ke Hat Yai, Thailand menerima 15 saman daripada pihak berkuasa negara itu berjumlah 15,000 baht (kira-kira RM1,850) atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk penggunaan lampu berkelip, sistem ekzos bising dan kesalahan trafik lain.





