Dalam tempoh kurang setahun sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-16, kerajaan Madani digesa menyegerakan reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berpandangan penggunaan sumber, aset, program dan jentera kerajaan untuk memberikan kelebihan kepada parti atau calon tertentu perlu dikawal dengan lebih jelas melalui undang-undang pilihan raya.
Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, peruntukan sedia ada perlu diperkukuh supaya terdapat garis pemisah yang jelas antara aktiviti kerajaan yang sah dengan aktiviti kerajaan yang sebenarnya berfungsi sebagai kempen politik menggunakan wang dan sumber awam.
“Bagi memastikan pilihan raya benar-benar bersih dan adil, Bersih menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) dan Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menambahbaik beberapa perkara dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya yang telah lama tidak dikemaskini berdasarkan konteks semasa, perlu dilakukan dengan segera sebelum PRU ke-16 berlangsung bagi memperkukuhkan penjalanan pilihan raya agar proses kempen menjadi lebih bersih, bebas dan adil.
“Penggunaan sumber dan jentera kerajaan yang menggunakan wang rakyat tidak wajar digunakan untuk memberikan kelebihan kepada calon parti pemerintah,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Hadir sama dan menyokong gesaan itu adalah wakil daripada Center for Independent Jounalism (CIJ), Pusat Komas dan Rasuah Busters.
Muhammad Faisal berkata perkara yang perlu diutamakan termasuk menjadikan penyalahgunaan sumber dan jentera kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya sebagai satu kesalahan dan mewajibkan audit penyata perbelanjaan pilihan raya calon dan parti politik oleh pihak audit yang bertauliah sebelum diserahkan kepada SPR.
Kerajaan juga katanya, perlu mewujudkan mekanisme dan kerangka panduan yang lebih tegas bagi menangani politik perkauman yang melampau dan manipulasi digital dalam pilihan raya.
“Selain itu dengan meluaskan kuasa SPR untuk mengeluarkan kompaun bagi mencegah kesalahan-kesalahan pilihan raya yang boleh dikompaun.
“Sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke arah demokrasi yang lebih sihat, matang dan progresif,” katanya.
Bersih turut menegaskan betapa Putrajaya tidak mempunyai alasan untuk melaksanakan agenda reformasi yang menjadi tulang belakang perjuangan Pakatan Harapan (PH) selama ini.
Muhammad Faisal berkata, pihak kerajaan boleh sahaja untuk memanggil sidang khas parlimen bagi tujuan tersebut seperti mana pada sesi penerangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji pada minggu lalu.
“Kerajaan tidak boleh lagi guna alasan sidang parlimen terbatas, boleh dibuat sidang parlimen khas untuk bentangkan reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya, Akta Perhimpunan Aman dan lain-lain.
“Tidak ada lagi isu masa, tinggal lagi keutamaan yang harus diberikan. Kalau kerajaan letakkan keutamaan sebenar ia boleh laksanakan, tak ada masalah,” jelasnya lagi.





